Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU: Lebih RM30 juta diperuntukkan untuk menaik taraf secara berperingkat empat Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ).

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia membabitkan RM6.22 juta peruntukan daripada kerajaan negeri, selain RM24 juta tajaan syarikat swasta.

Empat SRBJ itu membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Puteri 2, SMK Tasek Utara, Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Puteri 4 dan SK Tasek Utara.

Katanya, setiap kelas SRBJ akan menggunakan konsep ‘Smart Classrooms’ dengan menerapkan penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

Selain itu, naik taraf akan turut meliputi perpustakaan, bilik guru, kantin dan ruang eksplorasi pembelajaran yang lebih baik untuk keselesaan pelajar dan guru di SRBJ.

“Itu cadangan perancangan kita untuk naik taraf semua infra di empat sekolah SRBJ tetapi menaik taraf infra sahaja tidak mencukupi sebab cita-cita Johor ini cukup besar. 

“Menjelang 2030 kita mahu Johor jadi sebuah negeri maju yang memerlukan satu anjakan paradigma, gelombang besar untuk pastikan Johor benar jadi maju dan ia bermula dengan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus bersama Warga Pendidik dan Ibu Bapa SRBJ di SMK Tasek Utara di sini, hari ini.

Menurut Onn Hafiz, kejayaan pelajar SRBJ bukan bergantung kepada murid, guru, kementerian dan negeri semata-mata, tetapi juga bergantung peranan ibu bapa.

“Kalau sekolah rintis ini berjaya, Insya-Allah kita boleh buat lagi untuk banyak sekolah. Terdapat lebih 1,100 sekolah di Johor yang boleh dilihat,” katanya.-BH Online