Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Clinical Research Malaysia (CRM) perlu meneroka kerjasama lebih luas dengan negara anggota ASEAN dan institusi tempatan bagi menghasilkan penemuan yang bukan saja baharu, malah mampu mengurangkan kos perubatan serta sesuai dengan iklim serantau, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, industri perubatan boleh mendatangkan beban sekiranya hanya bergantung pada syarikat pengeluar besar yang mengaut keuntungan terlalu tinggi, bukan saja terhadap kerajaan tetapi juga pesakit.

“Cabaran kita ialah memastikan kos perubatan tidak melambung. Justeru, CRM mempunyai tugas besar untuk bertugas dalam bidang penyelidikan klinikal dan ada sinergi dengan semua institusi penyelidikan.

“Dalam mesyuarat Majlis Sains Negara, saya memberikan arahan sangat jelas bahawa tiada satu institusi yang bekerja secara berasingan… bermakna keberkesanan CRM ini mesti dilakukan dengan kerjasama semua institusi penyelidikan dalam negara dan universiti tempatan.

“Setiap fakulti perubatan mesti dirangkul bersama supaya semua kegiatan berkenaan dapat dijalankan secara bersama. Dengan cara ini, kita akan memastikan hasilnya itu jauh lebih berkesan.

“Kita dapat melihat hasilnya sekarang tetapi kita mahu strategi bersama ASEAN supaya kerjasama itu lebih dekat dan mantap,” katanya ketika berucap merasmikan majlis CRM Trial Connect 2025, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; dan Ketua Pegawai Eksekutif CRM, Dr Akhmal Yusof.

Perdana Menteri berkata, penyelidikan klinikal adalah tonggak utama dalam landskap penjagaan kesihatan dan sosioekonomi negara.

Beliau memaklumkan sejak 2012, ekosistem itu telah menyumbang lebih RM1.5 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) Malaysia dan mewujudkan lebih 3,000 pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Setiap ujian klinikal yang dijalankan di sini menghasilkan kesan berangkai dari hospital ke pusat pembangunan klinikal, hab pengurusan data, rangkaian logistik dan makmal berpusat,” katanya.

Anwar berkata, penyelidikan juga perlu memfokus kepada masalah dihadapi majoriti rakyat negara ini, berbanding menumpukan kepada penyakit di Barat, seperti yang dilaksanakan pada tahun 70-an yang mana tumpuan ketika itu ialah terhadap penyakit malaria, cacing kerawit dan batuk kering.

“Saya menekankan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini mengenai keperluan melakukan reformasi, anjakan dalam pemusatan kita supaya pendidikan, keutamaan perubatan dan memastikan jenis ubat generik yang dikemukakan tidak bergantung pada syarikat utama dunia yang mengenakan kos keterlaluan tingginya.

“Pada masa sama, kita harus memastikan rakyat mendapat manfaat daripada fasiliti terbaik dan apabila sebahagian daripada kita sakit, kita diberikan rawatan terbaik,” katanya.-BH Online