KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka menanggung jumlah subsidi produk petroleum hampir RM40 bilion bagi tahun ini sekiranya harga pasaran semasa bahan api itu kekal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peningkatan jumlah subsidi ini membolehkan warganegara Malaysia berusia 16 tahun ke atas layak menikmati petrol RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 sen seliter.
“Kerajaan telah menanggung subsidi hampir RM800 juta sebulan bagi RON95 dan diesel pada Januari dan Februari 2026, sebelum melonjak kepada sekitar RM5 bilion sebulan pada Mac dan April 2026.
“Sekiranya harga pasaran semasa ini kekal, kerajaan dijangka akan menanggung jumlah subsidi produk petroleum hampir RM40 bilion bagi tahun 2026,” katanya melalui jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengenai jumlah terkini peruntukan untuk subsidi petrol dan diesel.
Mengenai pihak lain yang menerima subsidi selain individu, Perdana Menteri berkata manfaat subsidi turut dipanjangkan kepada sektor strategik dan kritikal seperti diesel bersubsidi pada harga RM1.65 seliter bagi nelayan, selain penerima Bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0.
Bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi, katanya dinaikkan secara interim daripada RM200 kepada RM400 sebulan bagi meringankan beban lebih 210,000 petani dan pekebun kecil di Semenanjung Malaysia, susulan peningkatan harga minyak dunia yang dipacu oleh ketegangan geopolitik dan konflik Asia Barat.
Sistem SKDS 1.0 pada harga RM1.88 seliter pula diberikan kepada pengangkutan awam termasuk bas sekolah dan bas ekspres dan turut diperluas kepada sektor logistik dan pengangkutan barangan yang layak di Sabah dan Sarawak yang membolehkan kenderaan komersial membeli diesel pada harga bersubsidi RM2.15 seliter
“Pada masa sama, kumpulan sasar terpilih seperti pengusaha bot, pengguna janakuasa dan pam air untuk kegunaan kediaman di kawasan pedalaman yang turut memerlukan pembelian diesel bagi kegunaan harian.
“Individu ini juga layak menerima BUDI Diesel melalui mekanisme MyKad, tertakluk syarat kelayakan permohonan ditetapkan kerajaan negeri dan agensinya seperti Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Pejabat Residen, Pejabat Daerah atau Unit Perancang Ekonomi Negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri memaklumkan bekalan petroleum negara ketika ini kekal stabil dan mencukupi, dengan kerajaan akan terus memperkukuh langkah keterjaminan bekalan dalam jangka panjang dan subsidi bersasar ketika krisis bekalan global masih berlarutan.
“Keutamaan kerajaan adalah memastikan rakyat terus dilindungi sekiranya krisis ini berpanjangan, khususnya kepada golongan yang paling terkesan dengan tekanan kos sara hidup dan kenaikan harga global.
“Kerajaan akan terus memantau kedudukan fiskal dan keupayaan subsidi secara berterusan bagi memastikan bantuan dapat diteruskan secara mampan dan bersasar,” katanya. -BH Online
