IPOH: Umat Islam di negeri ini perlu berwaspada dan hanya menyalurkan kepada pihak bertanggungjawab bagi sumbangan membantu menebus kembali sebahagian tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu, Bagan Serai yang kini dimiliki individu bukan Islam,
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata ini kerana mungkin terdapat segelintir individu mengambil kesempatan terhadap isu berkenaan.
“Perkara ini sentiasa berlaku, apabila ada pihak memungut derma atas nama kebajikan, maka akan ada orang lain ambil kesempatan untuk memerangkap mereka (penderma).
“Kita harap orang ramai berhati-hati kerana dibimbangi hasrat mereka menderma tersasar. Untuk urusan (derma) itu, pihak yang bertanggungjawab adalah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan pihak masjid itu sendiri,” katanya selepas menyempurnakan pelancaran Inisiatif Buku Rujukan Tambahan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Program Tuisyen Cikgu Saarani di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.
Sebanyak RM1.8 juta diperlukan bagi menyelamatkan sebahagian tanah masjid berkenaan berkeluasan 0.61 hektar yang dimiliki seorang individu bukan Islam susulan tanah yang sebelum ini diwakaf untuk pembinaan masjid dijual cucu pewakaf.
Bagaimanapun, dilaporkan pemilik berkenaan bersetuju menjual semula tanah itu dan kerajaan negeri kemudian memutuskan untuk menggunakan wang kutipan derma solat Jumaat dari seluruh negeri bagi membeli semula sebahagian tanah terbabit.
Sementara itu, mengulas program inisiatif buku rujukan itu, Saarani berkata, sebanyak 52,000 set buku rujukan tambahan membabitkan enam mata pelajaran teras akan disumbangkan secara percuma kepada pelajar terpilih di seluruh Perak.
Beliau berkata, enam mata pelajaran itu adalah Bahasa Melayu, Sejarah, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam dan Sains.
“Buat masa ini, dua subjek wajib lulus iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah sudah diedarkan secara percuma oleh panel guru berpengalaman, mengikut format peperiksaan terkini dan menekankan penguasaan konsep serta teknik menjawab.
“Sebagai kesinambungan, empat lagi buku rujukan bagi Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam dan Sains kini dalam proses penerbitan dan akan diedarkan dalam masa terdekat,” katanya. –BERNAMA