Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SINGAPURA: ASEAN perlu membina kekuatan bersama dan memperdalam perkongsian tindakan iklim merentasi semua sektor, di tengah ketidaktentuan global susulan Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada Perjanjian Paris dan rancangan pelaksanaan tarifnya.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Malaysia bersedia untuk bekerjasama, berkongsi pengalaman dan jika perlu, menerajui usaha itu.

“Tiada negara yang mampu menghadapi krisis iklim secara bersendirian. Tetapi bersama, ASEAN boleh memimpin.

“Kita memiliki sumber semula jadi, pasaran yang berkembang, populasi muda dan masa depan yang dikongsi bersama.

“Kita mesti membina kekuatan bersama dan memperkukuh kerjasama merangkumi kerajaan, sektor perniagaan, masyarakat sivil dan institusi akademik,” katanya dalam ucaptama prarakaman pada Persidangan Financing Asia’s Transition yang berlangsung di sini hari ini.

Nik Nazmi menegaskan meskipun Malaysia komited menyelesaikan isu tarif melalui rundingan dua hala dan serantau, agenda kerjasama iklim tetap perlu berjalan secara seiring.

Beliau berkata Malaysia komited untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050, dengan sasaran kemuncak pelepasan menjelang 2030 dan pengurangan intensiti pelepasan per unit Keluaran Dalam negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus berbanding paras 2005.

Nik Nazmi turut menekankan peralihan hijau dilihat sebagai rangsangan ekonomi, khususnya dalam bidang kecekapan tenaga, pembuatan panel solar dan kenderaan elektrik (EV), hidrogen hijau serta penyelesaian berasaskan alam semula jadi.

“Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dijangka membuka potensi pelaburan sebanyak RM1.85 trilion menjelang 2050. Ini bermakna peluang untuk usahawan tempatan, peningkatan kemahiran tenaga kerja, serta peranan lebih luas untuk wanita dan belia dalam sektor tenaga bersih,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Nazmi menggesa bank pembangunan, institusi pelbagai hala dan sektor swasta memainkan peranan dalam membina ekosistem kewangan yang menyokong kelestarian.

Beliau berkata cita-cita hijau termasuk inisiatif infrastruktur seperti Grid Tenaga ASEAN yang bertujuan menyokong peralihan tenaga serantau kepada tenaga boleh diperbaharui, memerlukan infrastruktur kewangan yang sepadan.

“Modal swasta mesti digerakkan, dikurangkan risikonya dan disalurkan ke arah pelaburan mampan. Kewangan campuran, bon hijau, pinjaman berkait kelestarian dan dana pemangkin perlu diperluas,” katanya.

Nik Nazmi turut memaklumkan bahawa Malaysia memperkenalkan sukuk hijau dan sedang meneroka kaedah pembiayaan inovatif bagi menggalakkan penyertaan sektor swasta.

Menurut Bank Pembangunan Asia, ASEAN memerlukan sekitar AS$210 bilion setiap tahun sehingga 2030 bagi menyokong pembangunan infrastruktur selaras dengan matlamat iklim.-BH Online