KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan mengambil pendekatan teliti dan berhemah dalam menangani isu tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri berkata perkara itu dilaksanakan dengan mengutamakan rundingan diplomatik serta jalinan kerjasama serantau.
“Pendekatan ini dilaksanakan secara tenang dan seimbang, dengan tujuan utama untuk melindungi kepentingan negara serta memastikan kelangsungan pertumbuhan ekonomi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Melalui hantaran sama, Perdana Menteri berkongsi mengenai pencapaian ekonomi MADANI yang terus kukuh dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.1 peratus direkodkan pada 2024 dan terus meningkat.
Pelaburan diluluskan juga tertinggi iaitu RM378.5 bilion, manakala kadar inflasi 1.8 peratus dan pengangguran 3.1 peratus direkod terendah dalam tempoh 10 tahun.
Dalam konteks perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula, kongsi Perdana Menteri RM1 bilion jaminan eksport disediakan melalui Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan, selain RM500 juta Dana Pembiayaan Mudah dan RM50 juta peruntukan untuk mempergiat penerokaan pasaran baharu melalui MATRADE
Tambah Perdana Menteri lagi, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, beliau berkata Malaysia memainkan peranan aktif dalam memperkukuh hubungan dengan AS serta rakan dagang utama seperti China dan Kesatuan Eropah (EU).
Pada masa sama, beliau berkata kerajaan turut meneroka peluang perdagangan baharu dengan negara ekonomi sedang pesat membangun seperti Russia dan Brazil.
Jelasnya, pendekatan strategik itu sebahagian daripada usaha untuk mempelbagaikan pasaran eksport negara.
“Pendekatan ini sejajar dengan strategi ekonomi jangka sederhana negara yang memberi tumpuan kepada kestabilan makroekonomi, daya tahan perdagangan global dan peningkatan pelaburan langsung asing (FDI).
“Ia demi memastikan kemakmuran yang inklusif dan mampan untuk seluruh rakyat,” katanya.-BH Online