Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuantan: Kertas siasatan membabitkan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Pengerusi Save Musang King Alliance (SAMKA), Wilson Chang berhubung dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dalam operasi penguatkuasaan kebun durian di Raub pada 10 April lalu, sudah lengkap.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata kertas siasatan itu sudah dihantar ke Bahagian Perundangan Bukit Aman untuk tindakan lanjut, minggu lalu.

Katanya, setakat ini, pihaknya hanya menunggu arahan selanjutnya sebelum dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

“Kertas siasatan berhubung kes Ahli Parlimen Raub dan Pengerusi SAMKA sudah dihantar kepada Bahagian Perundangan Bukit Aman dan kini menunggu arahan lanjut,” katanya.

Pada 15 April lalu, Yu Hui dan Wilson dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan bagi membantu siasatan kerana didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas dalam operasi penguatkuasaan kebun durian di Raub.

Sebelum ini, operasi berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi apabila pekebun didakwa tidak berpuas hati selepas tanaman mereka dimusnahkan.

Dalam pada itu, Yahaya berkata, polis bersama UPNP, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) akan meningkatkan penguatkuasaan dan kawalan untuk memastikan tiada lagi pencerobohan tanah di negeri ini.

Katanya, kawalan bukan di tanah pencerobohan itu di daerah Raub tetapi di seluruh daerah di Pahang.-MyMetro Online