KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Keseimbangan antara kebahagiaan fizikal (physical happiness) dan kebahagiaan spiritual (spiritual happiness) merupakan antara elemen penting dalam membentuk kepimpinan perkhidmatan awam yang berkesan dan berorientasikan kesejahteraan rakyat kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disini hari ini
Perkara itu ditekankan beliau dalam sesi perkongsian ilmu dan pengalaman bersama peserta Program Kepimpinan dan Pengurusan Lanjutan (ALMP) Siri 89 di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara, hari ini.
Dalam perkongsian tersebut, beliau menegaskan bahawa pembangunan negara bukan sahaja perlu memberikan tumpuan kepada penyediaan infrastruktur, peluang pekerjaan, pendapatan dan kemudahan awam, malah perlu mengambil kira aspek kesejahteraan emosi, pemikiran, nilai serta perasaan dihargai dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, pembangunan yang menyeluruh memerlukan keseimbangan antara keperluan fizikal dengan keperluan spiritual agar kesejahteraan rakyat dapat diperkukuh secara berterusan.
Beliau turut mengingatkan para peserta, yang bakal menjadi antara peneraju perkhidmatan awam pada masa hadapan, supaya mengamalkan kepimpinan yang turun padang, berani membuat keputusan dan sentiasa mencari peluang untuk membawa perubahan besar atau game changer dalam sistem penyampaian perkhidmatan.
Katanya, pemimpin perlu mempunyai keberanian untuk meneroka pendekatan baharu, di samping memastikan setiap keputusan dan tindakan yang diambil memberikan manfaat kepada rakyat serta organisasi.
Perkongsian tersebut diharap dapat memberikan perspektif baharu kepada para peserta ALMP Siri 89 dalam memperkukuh keupayaan kepimpinan dan pengurusan, sekali gus mempersiapkan mereka menghadapi cabaran perkhidmatan awam pada masa hadapan.
Program berkenaan menjadi wadah perkongsian pengalaman dan pertukaran pandangan bagi melahirkan barisan pemimpin perkhidmatan awam yang berwawasan, berintegriti dan mampu membawa pembaharuan demi kepentingan negara.-Media Perpaduan
