Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberikan penjelasan berhubung isu penamatan perkhidmatan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata perbahasan mengenai perkara itu masih berlangsung dan akan dijawab oleh kementerian yang berkaitan semasa sesi penggulungan.

Menurut beliau, pelbagai pandangan telah dibangkitkan sepanjang perbahasan, justeru kerajaan akan memberikan penjelasan yang sewajarnya apabila tiba giliran kementerian berkenaan menggulung perbahasan.

“Itu perbahasan. Perbahasan tidak habis lagi, banyak orang cakap macam-macam.

“Nanti apabila penggulungan, mana-mana kementerian yang relevan akan menggulung perbahasan,” katanya pada sidang media Program Penataran Literasi Akta Antibuli 2026 di Institut Pendidikan Guru Malaysia, Lembah Pantai, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menggesa kerajaan menjelaskan asas Perlembagaan Persekutuan yang digunakan dalam tindakan menamatkan perkhidmatan 10 Exco kerajaan Negeri Sembilan pada September lalu.

Menurut beliau, tindakan berkenaan didakwa bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) dan melibatkan perkara yang berkaitan dengan jaminan terhadap perlembagaan negeri di bawah Perkara 71(1) dan Perkara 71(2) Perlembagaan Persekutuan.

Setiausaha Agung Pas itu turut mendakwa penamatan perkhidmatan tersebut tidak mematuhi Perkara 38(5) UUTKNS yang memperuntukkan bahawa pelantikan anggota Exco selain Menteri Besar hanya boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Besar atas nasihat Menteri Besar.

Pada 21 September lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, dilaporkan berpandangan bahawa tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian Exco tanpa nasihat atau permintaan Menteri Besar merupakan kekhilafan dari sudut perundangan.

Beliau juga mendakwa tindakan itu tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai sebarang kuat kuasa undang-undang, selain menegaskan beliau tidak pernah dirujuk atau memberikan nasihat berhubung perkara tersebut seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 38(5) UUTKNS. -Astro Awani