KUALA LUMPUR: Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman sudah membekukan wang RM4.3 bilion dan 2.1 juta unit saham susulan siri siasatan jenayah ‘mafia korporat’, antara akhir 2022 hingga September lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pasukan AMLA turut menyita wang tunai bernilai RM1 bilion dan 2.1 juta unit saham, selain melucut hak RM48 juta dan mengeluarkan kompaun sebanyak RM1.1 bilion bagi kes sama sepanjang tempoh berkenaan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, jumlah itu tidak termasuk lebih RM3 bilion yang masih dalam proses perbicaraan di mahkamah untuk dilucut hak kepada kerajaan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) seterusnya mengambil tindakan seperti penahanan beberapa individu serta membekukan dan menyita pelbagai aset dipercayai ada kaitan dengan aktiviti sedang disiasat.
“Seramai 70 individu dipanggil untuk dirakam keterangan hingga 25 September lalu.
“PDRM turut melakukan pembekuan dan penyitaan membabitkan lapan hartanah, 11 kenderaan, 417 akaun Sistem Depositori Pusat (CDS), 70 akaun dagangan saham bernilai kira-kira RM323.59 juta, serta 404 akaun bank berjumlah hampir RM 85.62 juta,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) mengenai perkembangan terkini dakwaan kegiatan ‘mafia korporat’, membabitkan pelanggaran hukum dan tindakan diambil, pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut merampas dana bernilai RM37.53 bilion membabitkan kes sama, namun tidak memperincikan tempoh rampasan itu dibuat.
“Dalam konteks ini (rampasan oleh BNM dan SPRM), sebahagian daripadanya iaitu RM28 bilion, membabitkan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan hutangnya.
“Sejumlah RM28 bilion daripada RM37.53 bilion ini untuk menyelesai atau melangsaikan hutang 1MDB,” katanya.
Perdana Menteri berkata, Suruhanjaya Sekuriti (SC) menerusi tindakan penguatkuasaan dalam pasaran modal juga sudah memulakan 239 pertuduhan jenayah terhadap 50 individu atau entiti antara 2022 hingga September lalu.
Katanya, jumlah pertuduhan itu meningkat lebih tiga kali ganda berbanding 76 pertuduhan terhadap 33 individu atau entiti antara 2017 hingga 2021.
Beliau berkata, tindakan sivil turut meningkat kepada 37 kes antara 2022 hingga September lalu, berbanding 23 kes antara 2017 hingga 2021.
“Mulai 2022, SC memperluaskan penguatkuasaan atas skop penipuan sekuriti, penyata palsu serta salah laku korporat oleh pengarah dan pegawai syarikat.
“Misalnya, skandal jenayah korporat Serba Dinamik Bhd membabitkan kerugian besar kepada pemegang sahamnya.
“Nilai pasaran Serba Dinamik mencecah RM6 bilion pada awal 2020, namun menjunam lebih 99 peratus kepada sekitar RM50 juta menjelang akhir Disember 2022.
“Pada Disember 2021, SC membuat pertuduhan ke atas Datuk Karim dan Serba Dinamik berhubung penyata palsu dikemukakan kepada Bursa Malaysia, tetapi pentadbiran terdahulu mengarahkan semua pertuduhan ditarik balik selepas kompaun RM16 juta dibayar pada Mei 2022,” katanya.
Perdana Menteri turut memberi jaminan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dikenal pasti terbabit jenayah ‘mafia korporat’, selain bertekad supaya pasaran modal perlu beroperasi secara teratur dan pelabur mesti dilindungi.
“Kerajaan juga akan menubuhkan jawatankuasa khas dipengerusikan Peguam Negara dalam masa terdekat, mengambil kira kerumitan jenayah ‘mafia korporat’ merentasi pelbagai cabang bidang kuasa agensi penguatkuasaan.
“Jawatankuasa ini akan dianggotai PDRM, SC, BNM dan agensi berkaitan, selain diberi tempoh tiga bulan untuk menjalankan siasatan dan menyediakan laporan penuh terkait jenayah korporat yang dokumennya akan didedahkan kepada umum kelak,” katanya. -BH Online
