PUTRAJAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) 2024 sebanyak 4.05 peratus, tertinggi dalam tempoh 10 tahun.
Agihan keuntungan itu membabitkan peruntukan RM439.87 juta berbanding RM357.65 juta tahun sebelumnya dan akan memberi manfaat kepada 6.77 juta akaun pendeposit Simpan SSPN.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata peningkatan agihan dividen Simpan SSPN yang diperkenalkan sejak 2004 menunjukkan kecekapan PTPTN dalam pengurusan dana simpanan yang efektif bagi memastikan pulangan optimum dapat diberikan kepada pendepositnya.
“Pemberian dividen pada kadar 4.05 peratus adalah lebih tinggi berbanding agihan sebanyak 3.60 peratus bagi 2023.
“Kadar dividen ini juga adalah kadar tertinggi dalam tempoh 10 tahun. Peningkatan ini disokong strategi pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal, di samping memberikan pulangan yang tinggi dan positif,” katanya pada Majlis Pengumuman Dividen Simpan SSPN 2024 dan Pelancaran Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2025 di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri KPT, Datuk Mustapha Sakmud; Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Zambry turut berkata, PTPTN turut menunjukkan pencapaian membanggakan dalam usaha agensi itu menarik lebih ramai pendeposit Simpan SSPN.
Ini dibuktikan melalui jumlah keluruhan deposit Simpan SSPN bagi 2024 sebanyak RM3.17 bilion, berbanding RM3.15 bilion yang direkodkan pada 2023, sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak RM24.37 juta atau 0.77 peratus.
“Jumlah keseluruhan deposit terkumpul bagi Simpan SSPN yang diterima sehingga 31 Disember 2024 adalah RM20.56 bilion.
“Apa yang lebih menarik, minat menabung dalam Simpan SSPN dalam kalangan masyarakat Malaysia sepanjang tahun lalu turut meningkat, apabila lebih 500,000 akaun baharu direkodkan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan dividen akan dimasukkan terus ke akaun Simpan SSPN dan pendeposit boleh membuat semakan penyata simpanan masing-masing melalui aplikasi myPTPTN mulai Jumaat.-BH Online