KUALA LUMPUR: Hampir 29,000 syarikat melaksanakan e-Invois, membabitkan 262 juta transaksi sehingga 28 April 2025, kata Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.
Beliau berkata, pencapaian itu membabitkan 5,400 pembayar cukai fasa pertama dan 12,600 pembayar cukai fasa kedua yang melaksanakan e-Invois sejak 1 Januari 2025.
Katanya, ia turut membabitkan lebih 11,000 pembayar cukai fasa ketiga yang melaksanakannya secara sukarela lebih awal daripada tarikh mandatori bermula 1 Julai ini.
“Ini adalah satu pencapaian luar biasa yang membuktikan bahawa dengan komitmen dan persediaan yang rapi, transformasi digital dalam sistem percukaian mampu dilaksanakan dengan berkesan.
“Saya yakin, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan terus memperkukuh komitmen dan sokongan kepada pembayar cukai serta mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan pelaksanaan e-Invois berjalan lancar,” katanya pada majlis perasmian Jelajah Mega e-Invois 2025 (Peringkat Nasional) di sini, hari ini.
Hui Ying berkata, Program Jelajah Mega e-Invois adalah antara inisiatif utama bagi memastikan pembayar cukai, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) fasa ketiga dan fasa keempat, mendapat maklumat yang jelas, sokongan langsung dan panduan praktikal mengenai pelaksanaan e-Invois.
Beliau berkata, fasa ketiga akan membabitkan hampir 280,000 pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM500,000 hingga RM25 juta, yang akan mula melaksanakan e-Invois secara mandatori pada 1 Julai ini.
Katanya, ia juga akan diperluaskan kepada pembayar cukai fasa keempat pada 1 Januari 2026.
“Jelajah ini menjadi platform bagi LHDN mendekati komuniti perniagaan, mendapatkan maklum balas secara terus serta menyampaikan mesej bahawa kerajaan sentiasa di sisi peniaga dalam menghadapi perubahan ini.
“Sebagai kerajaan yang prihatin, kita ingin memastikan tiada siapa yang ketinggalan dalam arus pendigitalan ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin, berkata bagi menyokong keperluan PMKS yang terbabit khususnya dalam fasa keempat, LHDN turut mengambil langkah proaktif dengan menyediakan Sistem MyInvois e-POS, platform digital Point-of-Sale (POS) yang boleh diakses secara percuma oleh PMKS dengan pendapatan atau jualan tahunan kurang daripada RM250,000.
Beliau berkata, dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Mac 2025 lalu, sistem MyInvois e-POS itu menawarkan pelbagai fungsi utama pengoperasian perniagaan, termasuk fungsi perekodan jualan, pengurusan inventori, pelaporan kewangan dan menyokong pelaksanaan e-Invois.
Mengenai Program Jelajah Mega e-Invois, Abu Tariq berkata, ia dijalankan secara serentak di seluruh Malaysia yang membabitkan 38 lokaliti di seluruh Malaysia dengan pembabitan penyertaan lebih 1,000 orang pegawai barisan hadapan LHDN.
Beliau berkata, dianggarkan sebanyak lebih 4,000 premis yang akan dilawati di seluruh Malaysia.
Sepanjang tempoh itu, katanya, LHDN merancang untuk mengadakan sekurang-kurangnya 23 sesi taklimat percuma di seluruh negara dalam usaha memberikan kefahaman yang lebih mendalam kepada masyarakat awam.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Hui Ying berkata, Kementerian Kewangan masih meneliti secara terperinci mengenai garis panduan dalam perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Beliau berkata, kementerian juga mengadakan libat urus dengan pihak pemegang taruh dan jika ada maklumat lanjut, akan dimaklumkan.-BH Online