KUALA LUMPUR: Abu mayat dua rakyat Malaysia dibawa pulang bersama 16 individu dalam kumpulan keempat rakyat negara ini yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Myawaddy, Myanmar.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Kedutaan Malaysia di Bangkok sedang melaksanakan lawatan konsular ke Mae Sot, Thailand bagi urusan penghantaran pulang kumpulan keempat rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket itu.
Katanya, kumpulan 16 rakyat Malaysia itu sudah merentasi sempadan Myanmar-Thailand hari ini dan dibawa pulang melalui jalan darat menggunakan sebuah bas sewa khas.
“Mereka diiringi lima pegawai Home-Based Staff (HBS) dan Kumpulan Agensi Teknikal (KAT) Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia (Malawakil)
“Mereka dijangka tiba di pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah pada esok,” katanya kepada BH hari ini.
Beliau berkata, setibanya di Bukit Kayu Hitam, 16 rakyat Malaysia itu akan menjalani proses saringan dan diambil keterangan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)
“Kumpulan keempat ini merangkumi 15 individu berbangsa Cina dan seorang Melayu terdiri daripada 14 lelaki dan dua wanita.
“Sembilan orang berasal dari Kuala Lumpur, tiga dari Kedah, seorang dari Johor, dua dari Perak dan seorang lagi dari Melaka,” katanya.
Mohamad Hasan berkata, operasi itu juga membawa pulang abu mayat dua rakyat Malaysia yang meninggal dunia di Myawaddy iaitu mendiang Pang Chee Cheng dan mendiang Ooi Wen Xue.
“Mendiang Pang sepatutnya pulang bersama-sama 16 rakyat Malaysia ini, namun meninggal dunia ketika dalam tahanan.
“Mendiang Ooi pula ditemukan di tepi jalan dan meninggal dunia di hospital kerana tidak mendapat insulin,” katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhan seramai 80 rakyat Malaysia sudah dibawa pulang dalam empat operasi berasingan pada 24 Februari (15 orang), 12 Mac (25 orang), 26 Mac (24 orang) dan 30 April (16 orang).
“Kos pengangkutan dan makanan sudah mendapat kelulusan Jawatankuasa Kumpulan Wang Amanah Rakyat Malaysia (KWARM) dan dibiayai oleh Tabung KWARM sebagai bantuan terus,” katanya.-BH Online