GUA MUSANG: Kerajaan akan membuka semula Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) di Gua Musang bagi memberi kemudahan kepada rakyat terutama di daerah berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau sudah mengarahkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk berbuat demikian dengan kerja awalan pemulihan KPTM dijangka dimulakan seawal bulan depan.
“Di Gua Musang, dulu kita sudah ada KPTM, namun ditutup pada 2019 kerana kekurangan pelajar dan soal pembiayaan.
“Justeru, saya arahkan KPTM di Gua Musang dibuka semula untuk kemudahan penduduk di daerah ini dengan menawarkan kursus bersesuaian dengan kebolehpasaran penduduk sekitar Gua Musang dan Kelantan.
“Sama ada kita kekalkan di lokasi sama atau baharu, ia akan dibincangkan nanti,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dan Majlis Raya Aidilfitri Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, beliau mengumumkan kemudahan itu memandangkan ia permintaan rakyat Gua Musang dan wakil rakyat di sini.
“Inilah pentingnya pengundi memilih wakil rakyat yang sama parti dengan Putrajaya,” katanya.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk pembinaan jambatan di Batu 10, di sini.
Katanya, turut diumumkan sebanyak 30 kedai oleh MARA dan KESEDAR akan disediakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dalam usaha membangunkan DUN berkenaan serta peruntukan RM1.5 juta untuk pembinaan Masjid Mukim Kampung Jerek.-BH Online