Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil pendekatan berhemat dalam menangani Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang disifatkan sebagai instrumen dasar berkuasa perlu digunakan hanya apabila keadaan memerlukan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah, berkata susulan kadar OPR yang rendah pada 1.75 peratus ketika pandemik COVID-19, BNM mengambil pendekatan berhemat dan secara berperingkat untuk menaikkan kadar, berbanding negara lain yang bertindak balas dengan kenaikan agresif untuk menangani inflasi.

“BNM juga menaikkan kadar namun secara berhemat, dan mencapai kadar yang agak akomodatif pada 3.0 peratus yang mana selesa bagi perniagaan untuk masih terus beroperasi,” katanya pada Forum Kepimpinan ASEAN di Washington, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan BNM mengekalkan kadar pada 3.0 peratus dan rangka kerja luar jangka Malaysia sekiranya berlaku lebih banyak ketidaktentuan serta an turun naik pasaran pada masa depan.

Amir Hamzah berkata, inflasi keseluruhan yang mencecah 1.8 peratus tahun lalu menyusut kepada 1.4 peratus pada Mac tahun ini, menunjukkan inflasi negara terkawal.

“Kadar (OPR) berada pada 3.0 peratus sekarang. Tiada tekanan untuk kerajaan pada masa ini pada kadar itu,” katanya dalamsesi soal jawab forum anjuran Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) itu.

“Bagaimanapun, jika keadaan menjadi sukar, adakah ada instrumen untuk dipertimbangkan? Ya, ada tetapi kami tidak mengambil keputusan secara dahuluan,” katanya.

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari BNM ketiga dijadual diadakan pada 8 Mei ini, yang akan membuat keputusan mengenai OPR. – BERNAMA