KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengesyorkan supaya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 mempertimbangkan kerjaya sebagai akauntan bertauliah yang mendapat permintaan daripada industri kewangan dan perakaunan.
Dalam satu hantaran di media sosial rasmi beliau hari ini, Rafizi berkata, salah satu fokus utama Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, sebuah agensi di bawah Kementerian Ekonomi yang diamanahkan melahirkan golongan profesional Bumiputera adalah menggandakan jumlah akauntan bertauliah Bumiputera.
Disebabkan itu, katanya bermula tahun ini, jumlah pengambilan pelajar lepasan SPM untuk menjadi akauntan bertauliah ditingkatkan daripada 500 orang setahun kepada 1,500 orang setahun, naik dua kali ganda.
Katanya, pelajar yang berjaya akan diberi pembiayaan mengikut kesesuaian dan ditempatkan di kolej-kolej profesional seperti Sunway University, INTEC Shah Alam, Tymba dan lain-lain.
“Jika adik berjaya lulus semua peperiksaan tanpa gagal, pada umur 21 tahun adik sudah boleh mula bekerja sebagai akauntan bertauliah di firma-firma besar,” katanya.
Rafizi berkata, difahami bahawa dilema ibu bapa dan pelajar adalah berkenaan jurusan yang mahu diambil selepas SPM.
“Banyak yang kata akan pilih ikut minat. Nasihat saya, kena imbangkan antara minat dengan peluang kerjaya baik masa hadapan. Sebab itu saya syorkan jadi akauntan bertauliah, macam saya!” katanya.
Mengimbas kembali laluan kerjayanya, Rafizi berkata beliau pada asalnya adalah pelajar jurusan sains tulen yang meneruskan pengajian di peringkat A-Level dalam bidang sama sebelum memperoleh ijazah dalam kejuruteraan elektrik dan elektronik.
“Habis universiti, saya kerja sebagai juruaudit dan akauntan bertauliah. Macam mana pula? Sebab kerjaya akauntan tidak memerlukan kita belajar akaun di sekolah atau universiti.
“Malah, untuk jadi akauntan bertauliah tak perlukan ijazah perakaunan pun. Hanya perlu lulus peperiksaan daripada institut akauntan bertauliah seperti ICAEW atau ACCA.
“Industri kewangan dan perakaunan sangat mengutamakan kelayakan akaun bertauliah seperti ini,” katanya.
Keputusan SPM 2024 yang diumumkan hari ini merekodkan pencapaian terbaik sejak 2013, dengan mencatat Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.49 berbanding 4.60 pada 2023.
Analisis keputusan SPM 2024 menunjukkan bilangan calon memperoleh keputusan cemerlang, iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran, meningkat kepada 14,179 orang atau 3.7 peratus berbanding 11,713 calon pada 2023.
Bilangan calon mendapat sekurang-kurang kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran pada 2024, turut meningkat kepada 86,040 orang berbanding 83,112 pada 2023.-BH Online