PUTRAJAYA: Kabinet bersetuju menubuhkan jawatankuasa teknikal khusus bagi menyelaras tindakan diambil dalam memastikan kestabilan harga serta keberadaan bekalan di pasaran.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata penubuhan Jawatankuasa Teknikal Penstabilan Bekalan dan Harga Barangan Keperluan Harian itu antara lain bertujuan memperkasa serta menstruktur kerjasama rentas kementerian yang digerakkan secara ‘ad hoc’ setiap kali menjelang musim perayaan sebelum ini.
Beliau berkata, ia akan dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar, dengan mesyuarat pertama akan berlangsung bulan depan.
Dari segi keanggotaan, katanya ia akan turut disertai wakil Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Perladangan dan Komoditi serta agensi dan industri berkaitan, dengan jawatankuasa akan bersidang setiap dua bulan.
“Tujuan penubuhan jawatankuasa ini adalah untuk menambah baik bentuk kerjasama kepada gerak kerja yang lebih strategik dan berterusan melalui mesyuarat serta pelaporan berkala.
“Jawatankuasa teknikal ini juga akan berperanan sebagai mekanisme amaran awal bagi memastikan isu berkaitan harga dan bekalan dapat ditangani dengan cekap serta berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Aidilfitri KPDN di sini, yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Tambah Armizan, melalui jawatankuasa teknikal ini, pemantauan akan dilaksanakan terhadap barangan seperti daging, ayam, telur, ikan, sayur-sayuran, beras, minyak masak dan barang keperluan asas lain yang menjadi permintaan pengguna.
Sekiranya dikesan wujud isu yang membabitkan harga dan bekalan di pasaran, beliau berkata pelan intervensi kerajaan akan dipertimbangkan.
“Penubuhan jawatankuasa ini adalah pendekatan menyeluruh dalam mengurangkan isu terkait harga dan bekalan, sekali gus membantu menangani kos sara hidup rakyat selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI,” katanya.-BH Online