KUALA LUMPUR: Sebanyak 17 laluan di sekitar Lembah Klang akan terbabit penutupan sementara pada Selasa hingga Khamis depan sempena Lawatan Negara oleh Presiden China, Xi Jinping, ke Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata penutupan dan lencongan jalan akan dilakukan selama 30 hingga 45 minit bagi memberi laluan kepada delegasi, sebelum dibuka semula.
Beliau berkata, seramai 378 pegawai dan anggota akan terbabit penugasan mengiringi orang kenamaan, mengawal lalu lintas dan menguatkuasakan undang-undang jalan raya sepanjang tempoh berkenaan.
“Pada 15 April jam 6 petang, laluan terkesan ialah Lebuh KLIA, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lingkaran Putrajaya, Lebuh Raya Putrajaya-Dengkil, Persiaran Selatan, Lebuh Gemilang dan Jalan P5.
“Pada 16 April jam 9.30 pagi, penutupan laluan membabitkan Jalan P5, Lebuh Raya Gemilang, Persiaran Selatan, Lebuh Raya Putrajaya-Dengkil, Lingkaran Putrajaya, Lebuh Raya MEX, Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), Lebuh Raya Setiawangsa-Pantai (SPE), Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Lebuh Raya Baru Pantai (NPE), Smart Tunnel, Lebuh Raya KL-Seremban, Jalan Istana, Jalan Damansara, Jalan Sultan Abdul Halim dan Jalan Sultan Iskandar.
“Pada jam 12.30 tengah hari pula, laluan yang ditutup membabitkan Jalan Sultan Abdul Halim, Jalan Sultan Iskandar, Jalan Damansara, Jalan Istana, Lebuh Raya KL-Seremban, NPE, SUKE, SPE, KESAS, MEX, Lingkaran Putrajaya, Lebuh Raya Putrajaya-Dengkil, Persiaran Selatan, Lebuh Gemilang dan Jalan P5,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Yusri berkata, beberapa laluan lain akan turut terkesan bermula jam 4.10 petang hingga 6.30 petang, antaranya Jalan Tunku Abdul Rahman, Lebuh Perdana Barat dan Persiaran Seri Perdana.
Pada 17 April pula, katanya, beberapa laluan yang ditutup bermula jam 8.50 pagi ialah Jalan P5, Lebuh Gemilang, Persiaran Selatan, Lebuh Raya Putrajaya-Dengkil, Lingkaran Putrajaya, ELITE serta Lebuh KLIA.
Sehubungan itu, beliau berkata, JSPT meminta semua pengguna jalan raya mengelak laluan terbabit sepanjang penutupan penuh dan lencongan jalan yang dilaksanakan, dengan merancang pergerakan serta mematuhi arahan petugas.-BH Online