KUCHING: Lebih 10,000 mengunjungi Rumah Terbuka Aidilfitri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Orang ramai mula memenuhi ruang legar BCCK seawal jam 8.30 pagi walaupun majlis hanya bermula pada jam 10.30 pagi.
Tinjauan mendapati rakyat pelbagai kaum dan agama hadir di majlis berkenaan termasuk tampil dengan berpakaian tradisional etnik masing-masing.
Suasana itu sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
Majlis turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Selain itu beberapa menteri Kerajaan Persekutuan dan Sarawak, wakil rakyat serta pemimpin masyarakat.
Rumah Terbuka Premier Sarawak akan diteruskan esok bermula jam 8.30 pagi hingga 2 petang.-BH Online