KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menyalurkan bantuan kemanusiaan RM10 juta sebagai permulaan kepada Myanmar yang terkesan akibat tragedi gempa bumi yang meragut banyak nyawa dan turut menyebabkan kemusnahan besar di negara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau selaku Pengerusi ASEAN 2025, sudah mengarahkan Menteri Luar Negeri untuk mengetuai misi kemanusiaan ke Myanmar minggu hadapan.
Katanya, lawatan itu bertujuan menyatakan sokongan padu Malaysia terhadap operasi mencari dan menyelamat yang sedang dijalankan termasuk oleh pasukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang sudah memulakan penugasan di lapangan hari ini.
“Malaysia menegaskan bahawa semangat kebersamaan dan tindakan kolektif dalam kalangan Negara-Negara Anggota ASEAN amat penting dalam menangani situasi kemanusiaan seperti ini.
“Keutamaan ASEAN dalam memelihara kesejahteraan rakyat serantau harus diterjemahkan menerusi tindakan yang cepat, berkesan dan bersifat menyeluruh.
“Dalam semangat perpaduan ASEAN, Malaysia akan terus berunding dan bekerjasama rapat dengan rakan-rakan ASEAN bagi menyelaras bantuan yang diperlukan oleh Myanmar, dan memastikan setiap usaha digerakkan memberi impak yang bermakna kepada mangsa-mangsa yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Anwar berkata Malaysia juga kekal komited untuk memperkukuh perpaduan serantau dan memacu agenda kemanusiaan ASEAN yang berteraskan nilai kasih sayang, tanggungjawab bersama, dan solidariti.-BH Online