Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SUNGAI BULOH: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi melihat kesiapsiagaan negara, termasuk pembabitan syarikat konsesi dan penguat kuasa dalam mengurus perjalanan warga kota pulang ke kampung halaman untuk meraikan Aidilfitri berada dalam keadaan terbaik.

Beliau berkata, pelbagai langkah diatur secara menyeluruh oleh kerajaan dan pihak berkaitan bagi memastikan pengguna jalan raya balik kampung menyambut perayaan termasuk Hari Raya dalam keadaan selamat.

“Kita memastikan tahap kesiapsiagaan dalam keadaan terbaik dengan semua agensi yang terbabit sudah bersedia untuk membantu mereka yang berada dalam perjalanan.

“Malah kerajaan juga sudah mengumumkan diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengehadkan kemasukan kenderaan berat di lebuh raya.

“Malah kerja bukan kecemasan turut diarahkan untuk dihentikan dari 24 Mac hingga 3 April supaya semua pengguna pulang dengan selamat dan selesa,” katanya kepada pemberita sejurus meninjau keadaan trafik sempena perayaan Aidilfitri di Restoran Jejantas Sungai Buloh, di sini hari ini.

Dalam perkembangan itu, Alexander turut menitipkan nasihat untuk semua rakyat Malaysia yang pulang berhari raya supaya berhati-hati dan menjalankan pemanduan yang selamat.

“Hari Raya adalah masa untuk kita meraikan kegembiraan bersama keluarga dan pastikan ada yang menanti kita di setiap destinasi yang dituju. Jadi, lakukanlah pemanduan yang selamat,” katanya.-BH Online