SUBANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian pelbagai pihak dalam usaha menurunkan harga barangan sempena sambutan Aidilfitri.
Perdana Menteri berkata, perkembangan itu adalah kali pertama dalam sejarah sejak beliau aktif menganggotai pentadbiran negara antara 1980-an hingga 1990-an.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pencapaian itu didorong kerjasama pelbagai syarikat swasta, termasuk rangkaian pemborong dan peruncit halal, Mydin Mohamed Holdings Bhd (MYDIN).
Ahli Parlimen Tambun itu juga mengakui tiada kes kekurangan bekalan barangan yang berlaku menjelang sambutan Aidilfitri, tahun ini.
“Ada satu kesan yang saya hendak sebut di sini yang penting. Saya dalam kerajaan sudah jadi menteri sejak 1980-an.
“Pada 1990-an saya mempengerusikan jawatankuasa Kabinet (bagi) kawalan harga menjelang hari kebesaran seperti hari raya, raya cina (Tahun Baharu Cina) dan sebagainya.
“Tahun ini, terima kasih kepada KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta syarikat seperti MYDIN.
“Ini kali pertama dalam sejarah yang saya ingat sebelum atau menjelang hari kebesaran, harga (barangan) terkawal, tiada kekurangan barang dan dia dapat memastikan harga turun, terutama seperti telur dan pelbagai barangan lain lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Turun Harga dan Peletakan Logo Malaysia MADANI di Pasaraya MYDIN di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri mirudin Shari; Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali dan Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin.
Perdana Menteri turut memuji inisiatif dilaksanakan syarikat swasta termasuk MYDIN membantu menurunkan harga, sama ada barangan dalam senarai kawalan mahupun sebaliknya.
Beliau juga bersyukur dan berterima kasih kepada syarikat swasta, penguat kuasa dan kementerian berkenaan yang menjayakan usaha mengawal harga barangan di pasaran.
“Syarikat (swasta) seperti MYDIN pun membantu supaya barangan tidak termasuk (dalam kategori) kawalan pun mereka cuba turunkan harga.
“Ini adalah perkembangan yang belum pernah saya lihat sejak aktif dalam pentadbiran dari 1980-an hingga 1990-an.
“Saya ada ruang sudah ke masjid tadi (bagi) memantau (harga barangan) dan terima kasih kepada MYDIN kerana membantu. Pertama ada Jualan Rahmah MADANI, selain ada kawalan harga yang dipantau kementerian.
“Memang (harga) lebih murah daripada pasaran. Ini membantu supaya dapat menurunkan harga,” kata Pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) itu.-BH Online