Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan menafikan dakwaan memberi pampasan RM2 juta kepada Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman berhampiran Jalan Masjid India seperti yang tular di media sosial, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa. 

Beliau berkata, dakwaan dengan pertanyaan kononnya Kerajaan memberikan pampasan berjumlah RM 2 juta kepada Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang dibuat menerusi hantaran di Facebook oleh Firdaus Wong Wai Hung adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.

“Kerajaan tidak pernah menjanjikan atau meluluskan sebarang bentuk pampasan kepada pihak kuil seperti yang digambarkan. 

“Malahan, tiada sebarang perjanjian atau ‘deal’ lain dibuat selain daripada penyelesaian yang sudah saya umumkan secara rasmi semalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Dalam pada itu, Dr Zaliha menegaskan bahawa keputusan yang diambil adalah hasil perbincangan secara harmoni antara semua pihak yang terbabit dan bersifat menang-menang. 

“Yang paling utama, pembinaan Masjid yang sudah tertangguh sejak tahun 2020 di tanah milik swasta berkenaan dapat diteruskan seperti yang dirancang, manakala pihak kuil pula bersetuju untuk berpindah ke lokasi alternatif yang telah dikenal pasti. 

“Saya juga ingin menegaskan sekali lagi bahawa kes ini tidak boleh dijadikan sebagai rujukan (precedent case) untuk mana-mana kes lain pada masa akan datang. 

“Ia adalah penyelesaian khusus kepada isu terbabit yang ditangani dengan penuh hikmah, mengikut lunas undang-undang dan mempertimbangkan sensitiviti pelbagai pihak,” katanya.

Tambahnya, semua pihak digesa untuk menghentikan polemik yang tidak berfaedah berkenaan. 

“Janganlah kita mengapi-apikan sentimen agama atau perkauman berdasarkan maklumat yang tidak sahih, kerana ia boleh menggugat keharmonian dan perpaduan yang telah kita bina bersama,” katanya.-BH Online