Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Jumlah kes kemalangan yang ditakrifkan sebagai bukan bencana kerja atau tidak mendapat perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dilihat semakin meningkat dan berada pada tahap membimbangkan.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata sebanyak 177 kes berkenaan dilaporkan pada Januari lalu.

“Angka itu sebenarnya membimbangkan. Data tahun lalu menunjukkan sebanyak 80,166 kes kemalangan dilaporkan kepada PERKESO dengan purata 6,680 kes sebulan atau 219 kes sehari.null

“Tahun ini baru Januari saja, angka bencana bukan kerja sudah menghampiri 200 kes. Kita perlu ingat bahawa jumlah kes yang dinyatakan itu membabitkan pekerja yang juga seorang suami, isteri, ibu, ayah dan anak di luar sana.

“Namun, mereka tidak mendapat perlindungan PERKESO kerana kes terbabit tidak ditakrifkan sebagai bencana kerja,” katanya pada Majlis Iftar Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) PERKESO 2025, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Steven berkata, perkara itu ialah antara perkara perlu diteliti dalam usaha menuju ke arah negara yang menekankan kepentingan keselamatan sosial.

“Tujuan utamanya ialah memastikan semua pekerja di Malaysia dilindungi setiap masa. Itu matlamatnya,” katanya.null

Beliau menjelaskan bahawa Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) menyediakan perlindungan kepada pekerja tetapi ia hanya terpakai jika kemalangan itu disahkan sebagai bencana kerja atau penyakit khidmat.

Sepanjang Januari lalu, sebanyak 3,906 kes direkodkan sebagai bencana kerja daripada keseluruhan jumlah 7,137 kemalangan yang dilaporkan kepada PERKESO.

Dalam pada itu, Steven berkata, jumlah kemalangan bencana kerja yang masih tinggi memerlukan perhatian khusus dan juga penerapan lebih banyak program pencegahan serta kesedaran kepada majikan dan pekerja.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa PERKESO menyelesaikan pembayaran faedah berjumlah lebih RM5.82 bilion kepada 871,949 penerima faedah pada tahun lalu, bawah Akta 4.

Beliau berkata, jumlah pembayaran faedah itu adalah lebih tinggi berbanding RM5.48 bilion membabitkan 920,368 penerima pada 2023 dan RM4.92 bilion (866,666 penerima) pada 2022.

“Untuk 2024, pembayaran faedah bagi kategori pencen penakat adalah yang tertinggi, merekodkan pembayaran berjumlah RM2.412 bilion.

“Ia diikuti pencen ilat dan bantuan ilat bernilai RM1.195 bilion serta lebih RM627 juta untuk faedah hilang upaya kekal.

“Melalui penguatkuasaan siling baharu gaji daripada RM5,000 kepada RM6,000 bagi caruman bermula 1 Oktober 2024, langkah itu kemudian dilihat dapat diterjemahkan kepada pembayaran faedah lebih baik dan meluas kepada pencarum,” katanya.

Pada majlis hari ini, Steven turut melancarkan iklan raya PERKESO bertajuk ‘Demi Kasih’.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) KESUMA, Dr Mohd Shaharin Umar, serta Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal.-BH Online