GEORGE TOWN: Majlis pelancaran Projek Perumahan Rumah Mampu Milik Bakat Baru MADANI di Pulau Pinang membabitkan dua lokasi di Seberang Jaya dan Bandar Cassia, Batu Kawan, dekat sini, dijangka diadakan bulan depan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata pembinaan 38,000 unit rumah itu akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh 10 tahun dengan fasa pertama di Seberang Jaya dan majoriti fasa lain adalah di Bandar Cassia.
“Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah menerima permohonan kebenaran merancang dan oleh kerana ini projek perumahan khas, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah meminta pelan itu diluluskan secepat mungkin sebab pernah berlaku projek sebegini di Kuala Lumpur diluluskan kurang dari 40 hari.
“Jadi, MBSP menerima cabaran itu dan setelah sesi teknikal dengan agensi terlibat, kita telah dapat meluluskan kebenaran merancang kurang dari 40 hari, maksudnya kita telah membantu dari segi menyegerakan kelulusan dengan harapan projek ini dapat dilancarkan pada Mac sebab pelan dikemukakan awal Januari,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Kon Yeow berkata, pelan telah diluluskan dan beliau dimaklumkan pelancaran telah dijadualkan pada akhir April memandangkan pemaju memerlukan masa untuk menunaikan syarat di dalam kebenaran merancang terlebih dahulu.
Beliau berkata, majoriti unit rumah Projek Perumahan Rumah Mampu Milik Bakat Baru MADANI akan dibina menggunakan sistem binaan berindustri (IBS) yang lebih cepat disiapkan berbanding konvensional.
Selain itu, katanya sebuah kilang akan dibina untuk membuat komponen IBS dan ia akan mengambil masa kira-kira satu hingga dua tahun untuk kilang itu siap sepenuhnya.
“Beberapa blok pertama projek Rumah Mampu Milik Bakat Baru MADANI itu akan dibina seperti biasa (bukan kaedah IBS) sementara menunggu kilang siap dan apabila kilang itu siap, baki unit projek itu akan dibina sepenuhnya menggunakan IBS,” katanya.
Kon Yeow berkata, rumah berkenaan akan dijual pada harga antara RM225,000 dan RM420,000 seunit dan menyasarkan siswazah serta mereka yang bekerja dalam sektor perindustrian.
Pada 10 Disember lalu, Perdana Menteri menyaksikan pemeteraian Perjanjian Pembangunan Bersama Rumah Mampu Milik Bakat Baru MADANI antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan anak syarikatnya, PDC Properties dengan pemaju SkyWorld Development Bhd (SkyWorld).
Projek dengan nilai pembangunan kasar RM13 bilion itu disifatkan sebagai pembangunan rumah mampu milik terbesar dalam sejarah negara, melibatkan dua lokasi di Seberang Jaya dan Bandar Cassia.
Projek pembinaan 38,000 unit kediaman itu bakal dilengkapi dengan kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, dewan serba guna dan taman permainan.-BERNAMA