BAYAN LEPAS: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara rejim Israel sehingga menyebabkan lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) terbunuh di utara Gaza.
Perdana Menteri menegaskan, Malaysia secara rasmi mengeluarkan bantahan keras secara berterusan terhadap perbuatan zalim dan tindakan keganasan yang dilakukan tentera Zionis di bumi Palestin.
“Kita mengutuk keras pembunuhan dan kezaliman ke atas sukarelawan MAPIM yang bertugas untuk (misi) kemanusiaan seperti membantu pesakit dan sebagainya.
“Kerajaan secara rasmi mengeluarkan bantahan keras terhadap keganasan berterusan,” katanya ringkas kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, Anwar menghadiri Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Pulau Pinang, di Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bersama barisan kepemimpinan kerajaan negeri.
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby mengesahkan lapan petugas warga Palestin itu syahid dalam serangan yang berlaku 1.30 tengah hari (waktu tempatan) di Beit Lahiya, utara Gaza, Sabtu lalu.
Serangan udara itu berlaku ketika petugas berkenaan sedang mendirikan khemah untuk menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan berterusan rejim Zionis.
Mereka yang terkorban ialah Mahmoud Yahya Al-Sarraj, Bilal Hossam Oqeila, Mahmoud Samir Oselim, Mahmoud Khaled Oselim, Mohammed Al-Ghafeer, Hazem Ghareeb, Bilal Abu Matar dan Ahmad Hamad.-BH Online