KUALA LUMPUR, 13 Mac- MADANI Digital Trade (MDT) bakal memudahkan akses pengeksport tempatan ke pasaran global, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata platform bersepadu itu membolehkan usahawan memanfaatkan teknologi data dan analitik, kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan.
“Ini sebenarnya adalah platform baharu daripada segi replikasi. Ia lebih canggih dan lebih sofistikated. Mereka menggunakan kemajuan kecerdasan buatan (AI) terkini. Pada masa yang sama, apa yang telah kami lakukan adalah memasukkan sebanyak mungkin fungsi.
Namun, apa yang penting adalah kita nak memastikan libat sama PKS ke dalam eksport.
Barangan kita ke luar negara. Ini kerana mereka yang memerlukan bantuan dari segi pemudah cara untuk menempatkan produk mereka dan berada dalam pasaran negara-negara di luar Malaysia,” kata Tengku Datuk Zafrul kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran MADANI Digital Trade di ibu negara.
Jelas beliau, MDT berupaya memenuhi permintaan pengguna di seluruh ASEAN, selain meningkatkan keterlihatan jenama tempatan di peringkat antarabangsa.
Inisiatif itu juga selari Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), yang menekankan penggunaan teknologi dalam industri serta jaminan keselamatan ekonomi dan keterangkuman.-Berita RTM