KUALA LUMPUR: Langkah mewujudkan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diharap dapat menarik golongan muda terutamanya daripada kalangan bangsa Cina dan India untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata demikian ketika menjawab soalan lisan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai penyertaan bangsa India dalam ATM sama ada tentera udara, laut ataupun darat.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan sehingga 31 Disember lalu, jumlah anggota ATM dalam kalangan bangsa India adalah 1,670 orang, iaitu 1.4 peratus daripada keseluruhan kekuatan anggota ATM.
“Walaupun jumlahnya agak kecil, ATM sentiasa melakukan promosi bagi menarik anak-anak muda dengan membuat promosi di sekolah, pusat membeli belah dan turut serta di pameran kerjaya di seluruh negara.
“Selain itu, pengwujudan semula PLKN diharapkan dapat menarik golongan muda, terutamanya daripada kalangan bangsa Cina dan India menyertai ATM,” katanya melalui jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Tambah beliau lagi, warga negara Malaysia berbangsa India turut menyumbang kepada usaha menjaga keamanan dan keselamatan negara, sama ada melalui peranan operasi, sokongan teknikal atau pentadbiran.
“Kehadiran mereka mencerminkan kepelbagaian etnik dalam ATM yang memainkan peranan signifikan bagi memperkukuhkan perpaduan dan integrasi nasional kepada pasukan keselamatan negara,” katanya.-BH Online