Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Selepas bersidang selama 18 hari, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 melabuhkan tirainya dengan menyaksikan 10 rang undang-undang diluluskan Dewan Rakyat.

Antara RUU berkenaan ialah RUU Majlis Media Malaysia 2024; RUU Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2025; RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, menerusi pemaklumannya berkata, persidangan sama turut meluluskan beberapa usul, termasuk usul membahaskan Laporan Ketua Audit Negara 1/2025, selain tiga sesi penerangan menteri turut diadakan.

“Mesyuarat kali ini, menyaksikan sejarah baharu bagi institusi legislatif ini apabila RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 diluluskan.

“Penggubalan RUU baharu ini dapat memastikan pemisahan kuasa yang jelas antara badan Eksekutif dan Legislatif, memberikan autonomi kepada Parlimen untuk menentukan hala tuju legislatif secara tersendiri,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Johari berkata, tonggak legislatif, Parlimen Malaysia yang juga Pengerusi ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) akan terbabit secara langsung dengan lima program tahun ini.

Program berkenaan ialah Mesyuarat Agung AIPA Ke-46; Perhimpunan Antara Ahli Parlimen Wanita ASEAN (WAIPA); Meeting of Young Parliamentarians of ASEAN InterParliamentary Assembly; ASEAN-AIPA Leaders Interface Meeting dan 7th Meeting of the AIPA Advisory Council on Dangerous Drug.

“Saya mengharapkan ahli Yang Berhormat (YB) menggarap ruang dan peluang tersedia untuk memperoleh pengalaman baharu dan dapat berkongsi pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik serta mencari penyelesaian bersama-sama rakan serantau dalam menangani cabaran serantau dan global,” katanya.

Mengulas lanjut, Johari dan timbalannya berterima kasih kepada semua ahli Dewan Rakyat yang

memberi kerjasama bagi membolehkan perjalanan majlis mesyuarat disempurnakan sepanjang tempoh persidangan, antara 3 Februari hingga hari ini.

“Tidak saya lupakan juga ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pegawai kerajaan, warga Parlimen, terutama Bahagian Pengurusan Dewan Rakyat, wakil media serta semua pihak terbabit secara langsung atau tidak dalam pengendalian urusan majlis mesyuarat kali ini.

“Saya mengucapkan kepada semua, selamat pulang dan selamat sampai ke destinasi masing-masing. Semoga ahli YB sentiasa sihat walafiat di samping keluarga tersayang.

“Akhir kata, saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa untuk tempoh berbaki sepanjang Ramadan ini dan Selamat Hari Raya Aidilfitri,” katanya.-BH Online