Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak supaya mengambil pengajaran dengan tidak mudah melempar sesuatu tuduhan kepada insan lain.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata susulan penarikan semula kenyataan fitnah oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, Perdana Menteri tidak berhasrat meneruskan persengketaan berdasarkan semangat dan penegasan dari bulan Ramadan.

“Perdana Menteri berhasrat untuk tidak meneruskan persengketaan ini atas semangat dan penegasan dari bulan Ramadan yang mulia agar kita mengambil pengajaran untuk tidak bermudah dalam melempar sesuatu tuduhan kepada insan yang lain.

“Ini kerana ia bukan sahaja menimbulkan fitnah kepada yang tertuduh, malah ia turut mengembalikan fitnah kepada si penuduh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan melalui Facebook PMO Malaysia, hari ini.

Media semalam melaporkan kes saman fitnah difailkan Perdana Menteri terhadap Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, selesai secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Saman itu berhubung dakwaan kenyataan berbaur fitnah bahawa Anwar berbohong menerima gaji RM1 ketika menjadi Penasihat Ekonomi Selangor.

Peguam, Datuk SN Nair yang mewakili Anwar, berkata kedua-dua pihak mencapai penyelesaian di luar mahkamah dan bersetuju untuk mengeluarkan satu kenyataan awam.

Tunku Nashrul berkata, sebagai umat Nabi Muhammad SAW, amalan jelek sebegini mesti dihentikan dan tidak dibudayakan, terutamanya dalam kalangan pejuang Islam.

“Dan memaafkan itu tidak sama sekali merendahkan darjat manusia, bahkan mengangkat kedudukan hamba di sisi Tuhannya. 

“Amalan berpuasa mesti menjentik ‘dhamir’ manusia agar kembali kepada fitrah asal kejadian termasuk menghidupkan budaya wacana yang segar dan menolak amalan fitnah memfitnah,” katanya.-BH Online