Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan merancang untuk mewujudkan ekosistem bekalan lengkap dalam industri pelayan data kecerdasan buatan (AI), kenderaan tanpa pemandu atau autonomi (AV), teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT), robotik dan industri maju lain menerusi Compute Sub System (CSS) yang diperoleh ARM Holdings Plc.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata, menerusi kerjasama dengan gergasi semikonduktor dari United Kingdom (UK) itu, ekosistem dalam industri semikonduktor itu akan mengutamakan pemain tempatan sebagai pilihan utama dalam setiap bahagian rantaian bekalan.

“Bagi merealisasikannya, kita bukan sekadar mewujudkan struktur kerjasama dengan firma asing yang maju tetapi mencadangkan pemindahan teknologi dan keperluan untuk penyesuaian tempatan supaya kita dapat memperkasa pemain tempatan secara realistik dan menyeluruh.

“Justeru, dalam tempoh beberapa bulan akan datang ini, kemajuan dalam kerjasama ini dengan ARM akan dilihat, menerusi rangka tindakan 10 tahun, penerima CSS, kerjasama dengan pemain tempatan dan mempamerkan prototaip teknologi ini di persidangan KL20 yang akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kerjasama Strategik Dalam Industri Semikonduktor, di sini, hari ini.

Peluncuran disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ARM, Rene Haas.

Rafizi turut menegaskan, Malaysia menjadi negara yang tepat untuk kerjasama bersama ARM.

“Ada yang bertanya mengapa syarikat semikonduktor gergasi memilih Malaysia, saya berulang kali menyebut, ia adalah waktu dan tempat yang tepat untuk ia berada.

“Kerjasama dengan ARM adalah bukti keyakinan apa yang negara ini boleh lakukan dan kita bersedia untuk melakukannya,” katanya.

Terdahulu dalam sesi taklimat bersama pengarang Isnin lalu, Rafizi berkata kerajaan akan melabur AS$250 juta (RM1.12 bilion) untuk mendapatkan akses harta intelek (IP) reka bentuk cip daripada ARM, dalam usaha memperkukuh keupayaan reka bentuk cip tempatan.

Katanya, pelaburan ini membolehkan syarikat tempatan mengakses teknologi canggih ARM selama 10 tahun. 

“Kerajaan akan membeli tujuh CSS IP, 25 unit Arm Flexible Access (AFA) dan produk lain yang akan diumumkan kelak.

“Keutamaan kami dalam dua hingga tiga tahun akan datang adalah untuk menghasilkan cip yang direka dan dibuat di Malaysia dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Rafizi berkata, pihaknya menyasarkan untuk mengumumkan sekurang-kurangnya satu atau dua penerima CSS yang pertama dalam tempoh dua bulan akan datang.

“Ini adalah kaedah insentif baharu yang akan ditawarkan kepada syarikat tempatan yang mana mereka tidak perlu membayar yuran pelesenan kepada ARM, sebaliknya akan ditanggung oleh kerajaan.

“Ia bukan lagi cara lama yang mana kerajaan memberi insentif, sama ada melalui subsidi modal atau pengecualian cukai.

“Ini akan menjadikan mereka sebahagian daripada ekosistem semikondutor yang besar dan mempunyai akses dan sokongan daripada ARM serta kerajaan pada peringkat nasional,” katanya.

Beliau menambah, kesan ekosistem yang dijangka daripada satu kitaran hayat lengkap Arm CSS dianggarkan sekitar RM133 bilion (AS$30 bilion), dengan limpahan ekonomi yang dijangka dalam bidang inovasi, penciptaan pekerjaan, peningkatan gaji, eksport, dan pelaburan seperti yang diraih di Korea Selatan.

“Kita berharap perjanjian dengan ARM ini akan membolehkan pengeluar tempatan untuk berkembang, mewujudkan 10 syarikat cip tempatan dengan hasil tahunan antara AS$1.5 hingga AS$2 bilion setiap satu,” katanya.-BH Online