Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Syarikat peneraju global dalam teknologi Unit Pemprosesan Pusat (CPU), Arm Limited sudah menyatakan persetujuan untuk melabur di Malaysia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata satu perjanjian bersama antara kerajaan dan syarikat berpangkalan di United Kingdom itu akan ditandatangani minggu depan.

“Pagi tadi memang sempat saya cakap dengan ARM (Limited). Dia minta supaya ARM (Limited) diterima dan beberapa peraturan kita.

“Kita nampak, kita setuju secara dasarnya dan minggu depan kita bereskan, mereka setuju. Ini (perjanjian pelaburan) akan ditandatangani minggu depan,” katanya.

Beliau ditemui media pada Majlis Peletakan Logo Malaysia MADANI di rangkaian Restoran Nasi Kandar Putrajaya (Singgah MADANI) di sini hari ini.

Terdahulu, ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di masjid Sekolah Sultan Alam Shah disini, Anwar memberitahu pelaburan itu termasuk hasrat mereka untuk berpangkalan di Malaysia.

“Soal ‘design’ (reka bentuk) dan pembikinan semikonduktor ini, dia (ARM Limited) adalah antara yang cemerlang di dunia.

“Dia pilih untuk berpangkalan di Malaysia, syukur Alhamdulillah,” katanya turut memaklumkan perbualan telefon pagi tadi itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif SoftBank Group Corp, Masayoshi Son.

Sebelum ini, Anwar menerima kunjungan hormat daripada Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Komersial Arm Limited, Will Abbey di pejabatnya di sini.

Pertemuan itu membincangkan hala tuju teknologi pengkomputeran dan peluang untuk Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai hab utama dalam ekosistem semikonduktor dan pusat data.

Arm Limited, berperanan sebagai arkitek, pembangun dan pelesen bagi penyelesaian hak harta intelek (IP) yang berprestasi tinggi, kos efektif dan cekap tenaga.-BH Online