JERLUN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan negeri dengan kerjasama agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyegerakan program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di Kawasan Muda, iaitu jelapang padi terbesar negara bagi meningkatkan produktiviti pesawah.
Perdana Menteri berkata usaha itu termasuk mempercepatkan pengambilan tanah bagi menaik taraf infrastruktur sistem pengairan serta memberi laporan kemajuan projek dari semasa ke semasa kepada kementerian.
“Semasa agensi perlu beri laporan segera, kita kena percepatkan, tak boleh sambil lewa, apabila kita lambatkan ia akan bebankan petani.
“… sebab itu petani jangan marah banyak, bagi saya ini bukan pasal perbezaan politik, saya nak yakinkan pesawah ini yang kerajaan boleh lakukan (bantu pesawah),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika meluncurkan projek pembangunan infrastruktur bagi menyokong program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di kawasan Muda di Kampung Pida 4, Ayer Hitam di sini hari ini.-BH Online