TAWAU: Penambahbaikan skim perjawatan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mendapat reaksi positif Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, cadangan penambahbaikan itu termasuk kesinambungan Tabika KEMAS akan melalui proses naik taraf secara menyeluruh, selain lebih banyak kelas akan dibuka untuk memberi lebih banyak kemudahan kepada anak-anak KEMAS.
“Saya berpuas hati dengan perancangan yang dikemukakan KEMAS baru-baru ini dan arahkan Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Hanafiah Man, supaya melihat secara menyeluruh agar naik taraf kelas Tabika dapat dilakukan.
“Selain itu, tidak dilupakan skim gaji baharu guru-guru KEMAS yang berstatus kontrak akan diberikan jawatan tetap,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Sentuhan Kasih Desa @Tawau 2025, anjuran KEMAS di Kompleks Sukan Tawau di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Komuniti KEMAS Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Timbalan Ketua Setiausaha KKDW, Meor Ismail Bin Meor Akim dan Ketua Pengarah KEMAS Malaysia, Datuk Mohd Hanafiah Man.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), berkata dengan penambahbaikan itu, nasib pegawai dan kakitangan KEMAS di bawah KKDW akan lebih terbela.
Beliau berharap. apabila skim gaji baharu dan jawatan tetap diluluskan Kerajaan Madani akan menjadi pemangkin kepada semua pegawai serta kakitangan KEMAS untuk lebih bersemangat serta meningkatkan produktiviti kerja masing-masing.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Sabah terus menjadi keutamaan Kerajaan Madani, melalui peruntukkan terbesar KKDW untuk mewujudkan lebih banyak kemudahan dan infrastruktur awam.
“Kita tahu banyak lagi infra diperlukan dan apabila Lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya, jalan perhubungan dari desa ke bandar kecil akan memberi manfaat kepada rakyat.
‘Dengan kerjasama kerajaan negeri, KKDW berazam segala infrastruktur, termasuk bekalan air dan elektrik luar bandar yang masih agak terkebelakang akan terus diperjuangkan,” katanya.-BH Online