PUTRAJAYA: Pemulihan dan keberdayaan ekonomi yang pesat serta keupayaan rakyat memajukan negara menjadi tarikan untuk pelabur asing datang ke Malaysia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, pemimpin dan syarikat luar melihat Malaysia yang berjaya mencatatkan pertumbuhan ekonomi baik dan kemasukan pelaburan tinggi ketika terdapat negara lain bergelut bangkit semula selepas pandemik COVID-19.
“Saya percaya kita ada keupayaan. Malaysia ini luar biasa. Mana ada negara di dunia yang masyarakatnya pelbagai kaum dan pelbagai agama tetapi boleh hidup dengan damai.
“Ada negara yang sudah kecundang sedikit, lemah dengan pelbagai skandal, kemudian datang COVID-19, tetapi kita sekarang mencatatkan pertumbuhan yang baik, (menerima) pelaburan yang tinggi, menjadi (destinasi) pusat data dan hab semikonduktor,” kata beliau pada majlis perasmian Alamanda Berwajah Baharu di sini hari ini.
Perdana Menteri turut menggariskan keupayaan negara menarik pelabur asing terletak pada keupayaan rakyat bersama-sama memajukan dan memartabatkan nama negara.
“Sebab apa (pelaburan datang)? Sebab mereka melihat keupayaan Malaysia, keupayaan seluruh rakyat.
“Oleh itu, kita bagi penghargaan, penghargaan kepada pemuda, penghargaan kepada pengurusan, penghargaan kepada peniaga, penghargaan kepada tukang cuci,” katanya.
Anwar berkata, Malaysia menjangkakan lebih ramai pemimpin luar termasuk Presiden China dan Afrika Selatan akan mengadakan lawatan selepas ini.
“Mungkin bila Ramadan itu, tangguh sekejap (lawatan pemimpin negara) dan akan sambung semula selepas April,” kata Anwar. -– BERNAMA