KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 2,208 penjawat awam didakwa terbabit rasuah, dengan 1,070 dituduh manakala 493 disabitkan kesalahan sejak 2020 hingga tahun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata ia dilakukan hasil pembukaan 725 kertas risikan, 3,765 kertas penyiasatan awam dan 2,265 kertas siasatan terhadap dakwaan rasuah membabitkan penjawat awam dalam tempoh sama.
“Ia hasil daripada 11,139 maklumat berunsur rasuah membabitkan penjawat awam yang diterima SPRM,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan V Sivakumar (PH-Batu Gajah) yang meminta Perdana Menteri menyatakan keberkesanan dasar antirasuah dalam perkhidmatan awam, termasuk statistik terkini mengenai siasatan SPRM.
Pada masa sama, Azalina berkata, 81 pegawai SPRM ditempatkan di Unit Integriti Awam (UI) dan Unit Integriti dan Governans (IGU) di Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) sehingga 31 Disember lalu.
Katanya, SPRM turut melucut hak RM140 juta nilai aset tahun lalu, melalui proses siasatan, pendakwaan dan tindakan undang-undang berkesan.-BH Online