Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PONTIAN: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan dakwaan kononnya pilihan raya mengejut akan diadakan hujung tahun ini sebagai antara ‘helah’ oleh BERSATU untuk terus kekal relevan di mata penyokongnya.

Beliau menegaskan, BERSATU kini ini berdepan masalah untuk kekal bertahan kerana tidak mempunyai daya tahan sebagai sebuah parti politik, lantas terpaksa mencipta isu untuk terus dalam memastikan penyokong mereka terus kekal setia.

“Saya beri analogi begini, mereka (BERSATU) hanya mampu lari 100 meter dan tak mampu lari maraton dalam tempoh panjang.

“Tidak seperti kita (UMNO) yang boleh sahaja berlari maraton (terus bertahan untuk tempoh lama). Maknanya mereka (BERSATU) tak mampu bertahan seperti parti lain,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Pontian, di sini, hari ini.

Minggu lalu, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata parti itu sedang bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan berlakunya pilihan raya umum (PRU) mengejut atau ‘snap election’ hujung tahun ini.

Mohamed Azmin dilaporkan berkata, perkara itu ditegaskan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin lantas meminta semua jentera parti digerakkan.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat berkata, tiada keperluan untuk Kerajaan Perpaduan mengadakan pilihan raya mengejut pada penghujung tahun ini .

Katanya, kebiasaannya mengikut pengalaman lalu, PRU atau pilihan raya negeri (PRN) akan diadakan selepas tempoh penggal pentadbiran hampir matang atau tamat.

“Kebanyakan pilihan raya yang diadakan di negara kita adalah mengikut tempoh dalam masa antara empat ke lima tahun sebelum tempoh matang.

“Sekarang ini (Kerajaan Perpaduan) baru masuk dua tahun lebih. Untuk apa diadakan pilihan raya dalam tempoh dua tahun… (itu) pada pandangan saya.

“Banyak dasar yang diperkenal Kerajaan Perpaduan baru di peringkat awal. Biasanya hasil dasar itu mengambil masa antara tiga ke empat tahun, barulah ada kesan merata kepada rakyat dan dirasai masyarakat,” katanya.-BH Online