PUCHONG: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian bahawa Malaysia akan terus lantang dan tegas dalam mempertahankan hak Palestin.
Perdana Menteri berkata, kerajaan juga kekal teguh dengan hak Palestin dan rakyatnya untuk membangunkan semula negara itu secara bebas.
“Soal Gaza ini, semua orang tahu, sangat merunsingkan, tapi kita (Malaysia) tegas dengan pendirian kita bersama rakan-rakan, bersama negara-negara Arab dan Islam untuk sokong Palestin.
“Pendirian kita tidak ada mana-mana negara lain berhak untuk menentukan nasib dan hak rakyat Palestin sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Salam di Puchong Perdana di sini hari ini.
Pada 29 Januari lalu, Anwar mengumumkan bantuan Malaysia dalam pembinaan semula Gaza dan Palestin akan dijalankan menerusi kolaborasi antara rakyat Malaysia dan sektor swasta.
Beliau yang juga Menteri Kewangan, berkata usaha pembangunan semula Gaza juga membabitkan kerjasama di antara Kerajaan Jepun dan Malaysia, yang berhasrat menubuhkan serta melancarkan dana melalui program Asia Timur.
Pada 4 Februari lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, dilaporkan berkata, bahawa AS mahu mengambil alih Gaza dan mencadangkan penempatan semula penduduk Palestin secara kekal di luar wilayah terbabit di Mesir dan Jordan.
Dalam temu bual yang disiarkan Isnin lalu, Trump memberitahu Bret Baier dari Fox News, bahawa
perjanjian boleh dibuat dengan Jordan dan Mesir untuk menempatkan penduduk Gaza, malah katanya AS akan menyalurkan ‘berbilion dolar setahun’ kepada kedua-dua negara itu.
Ditanya sama ada rakyat Palestin berhak untuk kembali ke Gaza, Trump memberitahu Fox News: “Tidak, mereka tidak akan (kembali) kerana akan mempunyai penempatan yang lebih baik.
Cadangan itu bagaimanapun dibantah negara Arab dan penduduk Gaza sendiri.-BH Online