Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

WASHINGTON: Arab Saudi hari ini menegaskan pendirian bahawa normalisasi hubungan dengan Israel tidak akan berlaku tanpa penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka, sekali gus menolak dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kononnya Riyadh telah menggugurkan tuntutan itu.

Kementerian Luar Arab Saudi menekankan bahawa pendirian kerajaan itu kekal ‘teguh dan tidak berubah’, berikutan kenyataan Trump pada pertemuannya dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di Rumah Putih, semalam.

“Putera Mahkota Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud dengan jelas dan tanpa ragu-ragu telah mengulangi pendirian ini dalam titah ucapan baginda pada pembukaan sesi pertama penggal kesembilan Majlis Syura pada 18 September 2024,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu turut menggariskan bahawa Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, sekali lagi menegaskan komitmen kerajaan pada Sidang Kemuncak Arab-Islam di Riyadh pada 11 November tahun lalu, dengan menekankan keperluan untuk menubuhkan sebuah negara Palestin berdasarkan sempadan 1967 serta menamatkan pendudukan Israel ke atas wilayahnya.

“Arab Saudi menegaskan bahawa pendirian ini tidak boleh dirunding dan tidak boleh dikompromi.

“Mencapai keamanan yang adil dan berkekalan adalah mustahil tanpa rakyat Palestin memperoleh hak-hak mereka yang sah sebagaimana telah dijelaskan sebelum ini kepada kedua-dua pentadbiran AS terdahulu atau semasa,” menurut kenyataan itu lagi.-BH Online