KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperkukuh penawaran dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan peranannya kekal sebagai pemacu utama pembangunan tenaga kerja di Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sistem TVET yang semakin berkembang sebagai alternatif transformatif bagi pelajar, terbukti menyediakan laluan terancang ke arah pekerjaan serta pendidikan tinggi.
Untuk itu, katanya kerajaan mempertingkat pelaburan dalam sektor TVET secara signifikan, dengan peruntukan RM7.5 bilion disediakan untuk tahun ini berbanding RM6.8 bilion pada tahun lalu.null
“Dana itu menyokong program TVET merentasi 12 kementerian, membabitkan 1,398 institusi di seluruh negara.
“Ia perubahan kritikal dalam ekosistem pendidikan kita, yang bergerak melangkaui laluan akademik konvensional kepada pembangunan kemahiran berasaskan industri,” katanya.null
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu undangan dalam Podcast Utama Buletin TV3 yang dihoskan Halim Mohamed dan Azaria Tagaya.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara menjelaskan, kerangka baharu TVET menggabungkan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta menawarkan kelayakan alternatif setaraf kelayakan tradisional.
“Institusi TVET menganugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), di mana Tahap 3 diiktiraf setaraf dengan SPM, manakala Tahap 5 menyamai diploma.
“Ini memastikan pelajar yang tidak mengikuti laluan akademik konvensional masih mempunyai prospek kerjaya yang cerah,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, enam universiti TVET beroperasi di seluruh negara termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), yang menawarkan peluang pendidikan tinggi bagi pelajar yang ingin mendalami kepakaran teknikal.
Ditanya mengenai isu 10,162 pelajar yang mendaftar untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 tetapi tidak mendudukinya, beliau menegaskan TVET kekal sebagai pilihan bagi pelajar berkenaan untuk mendapatkan kelayakan dan memasuki pasaran kerja.
“Kebolehpasaran graduan TVET sangat tinggi. Purata kebangsaan adalah 94.5 peratus, manakala institusi di bawah MARA mencatatkan kadar lebih tinggi iaitu 98.7 peratus.
“Ramai pelajar memperoleh pekerjaan sebelum mereka menamatkan pengajian,” katanya.
Beliau turut menepis persepsi bahawa TVET hanya untuk pelajar yang lemah dalam akademik, sambil menegaskan graduan TVET sering memperoleh gaji lebih tinggi berbanding pemegang ijazah kerana kemahiran khusus yang dimiliki.
“TVET memberi keutamaan kepada pembelajaran berasaskan kemahiran yang terus diterjemahkan kepada produktiviti.
“Majikan menghargai kecekapan dan inilah sebabnya graduan TVET mendapat permintaan tinggi,” katanya.-BH Online