Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) baharu berkaitan tahanan di rumah dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen penghujung tahun ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada program Analisis Madani bertajuk Malaysia Aman: Kedaulatan dan Keselamatan yang disiarkan secara langsung di TV Al Hijrah malam ini.

Saifuddin berkata, ketika ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang giat menjalankan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara berkaitan penggubalan akta terbabit. 

“KDN sedang dalam proses untuk pinda Akta Penjara 1995. Kelulusan Kabinet dari segi dasar sudah diperoleh.

“Ketika ini KDN sedang berbincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk gubal (akta tahanan di rumah).

“Kita menjangkakan mungkin (dibentangkan) pada sesi Parlimen hujung tahun ini.

“Ini memandangkan buat masa ini belum ada undang-undang yang membolehkan tahanan rumah dijalankan, yang ada sekarang, perintah pembebasan berlesen, perintah kehadiran wajib atau parol,” katanya.

Program yang dikemudi personaliti televisyen, Talib Husin itu turut menampilkan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai tetamu.

Mengikut portal rasmi Parlimen Malaysia, sesi terakhir Parlimen bagi tahun ini iaitu mesyuarat ketiga persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung mulai 6 Oktober hingga 4 Disember 2025.

Mengupas lanjut, Saifuddin berkata, bagi peringkat awal, KDN menyasarkan tahanan di rumah dibolehkan kepada penghuni penjara yang berada dalam kategori ‘tahanan reman’ sahaja. 

“Buat permulaan, kita sasarkan mereka yang ditahan reman dalam penjara bukannya mereka yang sudah disabitkan hukuman.

“Jumlah (dalam tahanan reman) di penjara ketika ini sekitar 29,000 orang termasuk 8,000 hingga 9,000 penghuni penjara (yang direman) atas kes berat seperti rogol atau bunuh. 

“Namun, bagi kes berat, mereka ini kita ketepikan. Jadi baki (tahanan reman) sekitar 20,000 orang yang disasarkan untuk tahanan rumah yang kalau mereka disabitkan hukuman, tuduhan atas mereka membabitkan penjara kurang tiga tahun,” katanya. 

Beliau turut menjelaskan, faktor utama mendorong KDN untuk memperkenalkan RUU baharu itu bertujuan mengurangkan kadar kesesakan di institusi penjara yang ketika ini dihuni lebih 87,000 orang di seluruh negara.-BH Online