Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza bagi membantu meringankan penderitaan yang ditanggung penduduk Palestin, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, usaha itu akan direalisasikan dengan menggembleng sinergi dan kerjasama semua pihak, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan swasta serta seluruh rakyat.

Selain itu, Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan Malaysia dan Jepun juga berjaya mencapai kesepakatan untuk menyegerakan usaha membina semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD), dengan menubuhkan dana khas bagi menyokong pembangunan semula wilayah yang terkesan. 

“Moga kewujudan dana khas ini akan mencapai misi dan matlamat yang kita rancang.

“Titipkan doa dan harapan supaya Allah SWT terus memberi perlindungan buat Gaza dan Palestin serta memberkati setiap usaha dan pengorbanan kita dalam memberikan harapan baharu buat mereka, insya Allah,” kata beliau melalui Facebook, hari ini.

Perdana Menteri berkata, perancangan pemulihan Gaza perlu dimulakan selepas pengumuman gencatan senjata di Gaza pada 19 Januari lalu, yang mana pembantaian kejam oleh Israel meragut lebih 46,000 nyawa dan menyebabkan lebih dua juta rakyat Palestin hilang tempat tinggal.

Pada 18 Januari lalu, Perdana Menteri, berkata pembangunan semula Gaza yang hampir musnah akibat serangan Israel sejak Oktober 2023, dijangka menelan kos lebih AS$1 trilion (RM4.5 trilion).

Beliau berkata, jumlah yang besar diperlukan kerana kemudahan seperti masjid, sekolah, hospital dan rumah, secara keseluruhannya musnah.

Katanya, Jepun mengundang Malaysia untuk menjadi pengerusi bersama dalam CEAPAD, yang memfokuskan kepada pembangunan semula Gaza.

Gencatan senjata di Gaza berkuat kuasa pada 19 Januari lalu, yang akan berlaku dalam tiga fasa, bagi menamatkan perang selama 15 bulan di Gaza.-BH Online