Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Tumpat: Pembangunan Kampung Angkat MADANI (KAM) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Kampung Pasir Pekan Tengah, Tumpat Kelantan memberi fokus kepada kesejahteraan kumpulan sasar kementerian seperti wanita, kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) serta keluarga.

Ini bagi memastikan negara dapat mencapai kesejahteraan masyarakat yang seimbang.

Menerusi peruntukan sebanyak RM2.5 juta, KPWKM berjaya melaksanakan pembangunan projek fizikal dan psikososial KAM dalam tempoh masa yang ditetapkan dengan memberi manfaat kepada seramai 1,800 penduduk.

Projek ini meliputi lima aspek utama iaitu pembangunan logistik, penjanaan ekonomi, keselamatan, pengukuhan ukhwah dan perpaduan serta pengukuhan psikososial.

Pembangunan logistik membabitkan pembinaan jeti terapung menggunakan teknologi biokomposit (kenaf) dengan kerjasama Agensi Nuklear.

Selain untuk kegunaan penduduk setempat yang menjadikan sungai sebagai sumber rezeki, jeti berkenaan akan menjadi laluan pihak bomba bagi kerja menyelamat mangsa lemas, cubaan bunuh diri atau pun semasa bencana banjir yang sering melanda kampung ini.

Naik taraf fasiliti

Turut dibina susur pejalan kaki sepanjang 500 meter, menaik taraf jalan kampung, membina ruang rekreasi kanak-kanak dan pemasangan papan tanda Dataran Kampung Pasir Pekan Tengah serta menaik taraf Masjid Ar-Rahman.

Projek pembinaan dan naik taraf fasiliti ini telah menyediakan kemudahan rekreasi dan aktiviti bersama keluarga kepada penduduk setempat, termasuk kanak-kanak, warga emas dan OKU.

Bagi aspek penjanaan ekonomi, aktiviti ternakan ikan dalam sangkar telah diperkasakan untuk meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

Projek ini mendapat sokongan Jabatan Perikanan dengan sumbangan 10 ribu anak ikan dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dari segi asas akuakultur dan pemilihan ikan.

Dalam aspek keselamatan pula, penduduk setempat telah menerima manfaat melalui kerja pemasangan 20 unit lampu solar bagi menambahbaik persekitaran yang gelap dan kurang selamat sebelum ini.

Selain itu, aspek pengukuhan ukhwah dan perpaduan dipertingkatkan melalui aktiviti gotong-royong serta rekreasi dalam kalangan masyarakat kampung.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri menyeru semua pihak yang melaksanakan projek Kampung Angkat MADANI memberi fokus kepada keperluan kumpulan sasar seperti wanita, kanak-kanak, warga emas serta OKU bagi mencapai kesejahteraan masyarakat yang seimbang.

Katanya, KPWKM yakin projek KAM ini dapat memberikan manfaat optimum terus kepada penduduk dengan kemudahan fizikal yang disediakan dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat melalui aktiviti psikososial yang telah diadakan.

Sementara, Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Maziah Che Yusoff, berkata sebagai kementerian yang menjaga kebajikan dan kesejahteraan masyarakat, aspek pengukuhan psikososial telah diperkasakan di KAM KPWKM dengan Penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE@3A), Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) selain program Ziarah kasih, Program integrasi KASIH MADANI, Gotong-Royong Kasih MADANI dan pemasangan papan tanda maklumat Talian Kasih 15999, iaitu talianbantuan psikososial yang beroperasi 24 jam kendalian KPWKM.

Katanya, semua projek pembangunan ini telah mengambil kira keperluan kumpulan sasar utama KPWKM.

Projek KAM telah diserahkan kepada rakan strategik terpilih.-BH Online