GEORGETOWN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyarankan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menjalankan penilaian pihak ketiga untuk memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan adalah berkesan dan benar-benar memenuhi keperluan serta harapan rakyat.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, menyifatkan langkah itu sebagai penting untuk menilai pelaksanaan program yang telah dirancang secara objektif, sekali gus memastikan manfaatnya sampai kepada golongan sasaran dengan impak maksimum.
“Kita mesti memastikan setiap tindakan diambil benar-benar memenuhi keperluan dan harapan rakyat. Pendekatan kita harus sentiasa relevan, dan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) kita harus berpaksikan kesejahteraan rakyat.
“Itulah sebabnya saya mencadangkan kita menjalankan penilaian pihak ketiga bagi menilai secara objektif keberkesanan setiap inisiatif yang kita laksanakan,” katanya pada Majlis Makan Malam Permukiman KKDW, di sini, malam tadi.
Ahmad Zahid berkata, tindakan itu juga dapat memastikan program yang dirancang tidak hanya memenuhi sasaran di atas kertas, sebaliknya memberi impak langsung kepada masyarakat, terutama penduduk di kawasan luar bandar.
Beliau menegaskan, Agenda Transformasi Desa harus dipastikan bukan sekadar perancangan dan kejayaan di atas kertas dengan ‘laporan cantik’, tetapi juga mesti realiti yang dirasai rakyat kerana keberhasilan sebenar.
“Apabila kita mampu mengubah kehidupan rakyat, apabila kita melihat melalui lensa rakyat, KPI kita bukan sekadar angka di atas kertas. Mungkin bagi kita, membina ‘berkilo-kilometer’ jalan itu adalah satu kejayaan. Namun bagi rakyat, jalan itu adalah akses kepada rezeki dan kehidupan lebih baik.
“Mungkin bagi kita, memasang beribu lampu jalan itu adalah satu pencapaian tetapi bagi rakyat, cahaya itu adalah harapan agar anak-anak mereka dapat belajar dengan lebih baik di balik kegelapan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga mahu KKDW memperhebatkan usaha Perkhidmatan Pasca Penyerahan dalam setiap program pembangunan, misalnya membabitkan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS), dengan maklum balas susulan selepas projek selesai perlu dilakukan bagi menilai tahap kepuasan penerima.
“Kita tidak boleh hanya membina rumah dan meninggalkan penerima begitu saja. Kita perlu kembali bertemu mereka, membuat susulan dan bertanya mengenai tahap kepuasan mereka.
“Pendekatan ini bukan saja mencerminkan keprihatinan kerajaan tetapi juga memastikan pembangunan yang mampan,” katanya.
Katanya, beliau berharap usaha terbabit dapat direalisasikan dengan lebih sistematik melalui penggunaan teknologi seperti papan pemuka digital, bank data dan sistem pemetaan interaktif bertujuan memantau prestasi projek secara langsung.
Beliau menjelaskan, tindakan itu menjadi sebahagian daripada komitmen kerajaan bagi memastikan perancangan ekosistem pembangunan dapat dilaksanakan secara inklusif, responsif dan berkesan.
Ahmad Zahid berkata, beliau mahu KKDW terus memacu langkah strategik pada tahun ini dengan mengamalkan pendekatan ‘cross-functional’, iaitu memanfaatkan kekuatan setiap bahagian di bawah satu payung besar yang merangkumi pendidikan, ekonomi, keusahawanan dan reformasi birokrasi.
Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk meningkatkan lagi keberkesanan setiap bahagian dan agensi dengan mengoptimumkan sumber serta memperkukuh perkhidmatan silang dalam usaha menyampaikan perkhidmatan lebih cekap dan berimpak tinggi kepada rakyat.
Tahun ini juga, katanya, beliau mahu memperkasakan agensi bawah KKDW seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPPKOA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
“Sebagai ejen kerajaan pada peringkat akar umbi, usaha ini mesti diperkasakan dengan sumber, latihan dan peranan lebih strategik agar rakyat lebih cakna terhadap segala inisiatif dan usaha dilakukan oleh kerajaan,” katanya.-BH Online