IPOH: Sebanyak RM230 juta diperuntukkan melalui Skim PADURI MADANI di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dengan sasaran melahirkan 29,000 usahawan wanita baharu dalam kalangan B40.
Skim bersifat inklusif yang diwujudkan melalui peruntukan yang diumumkan ketika Belanjawan 2026 ini, selari dengan matlamat penubuhan AIM iaitu mengeluarkan keluarga daripada kemiskinan dengan menyasarkan tujuh kumpulan utama iaitu wanita Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli, komuniti Siam, serta wanita B40 di bandar serta luar bandar.
Ia terbuka kepada wanita warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas dengan pendapatan isi rumah bulanan tidak melebihi RM5,880 atau pendapatan per kapita tidak melebihi RM1,470, dengan ia turut menerima pemohon disenaraihitam atau diisytiharkan muflis.
Skim berkenaan menawarkan pembiayaan bermula RM3,000 untuk kali pertama hingga RM30,000 melalui kategori Ekonomi: i-Paduri Mesra, i-Paduri Srikandi dan i-Paduri Muda serta maksimum sehingga RM15,000 bagi kategori Sosial iaitu i-Paduri Wibawa, i-Paduri Sejahtera, i-Paduri Bestari, dan i-Paduri Penyayang.
Berucap meluncurkan Skim PADURI MADANI AIM itu di Dewan Serbaguna Bandar Baru Tambun, di sini hari ini, Anwar berkata AIM sentiasa dekat di hatinya memandangkan peranan penting yang dimainkannya dalam penubuhan badan amanah persendirian itu yang sebelum ini dikenali sebagai Tabung Ikhtiar untuk membantu rakyat kurang berkemampuan melalui pemberian pinjaman mikro itu pada 1987.
null
Katanya, berbanding institusi perbankan yang kebiasannya lebih gemar memudahkan golongan kaya membayar balik pinjaman berbanding golongan miskin, AIM pula adalah sebaliknya apabila kadar faedah pinjaman ditetapkan adalah sangat rendah.
“Orang kaya pinjam bank dikenakan faedah enam peratus namun orang miskin pinjam dikenakan faedah 10 peratus. Ini bagi saya bukan keadilan, menjadikan kita cari ikhtiar untuk selesaikannya.
“Semasa itu, saya melihat usaha ikhtiar yang dibuat oleh Bangladesh apabila waktu itu saya dengar ada satu gerakan koperasi di sana apabila orang-orang susah ini diberikan pendedahan dan peluang. Kemudian kita minta dengan bank untuk kaji dan teliti.
“Tetapi kita tidak ikut jaminan bank sebelumnya kerana jaminan itu faedahnya terlalu tinggi iaitu mencecah 20 ke 25 peratus kerana tidak ada suntikan daripada kerajaan,” katanya.
Pada majlis itu, tiga individu menerima Anugerah Usahawan Cemerlang Negeri Perak selain pembiayaan Skim PADURIMADANI berjumlah RM3,000 kepada setiap seorang daripada lima penerima yang juga Sahabat Usahawan baharu AIM bagi Parlimen Tambun.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, Datuk Seri Dr Syed Hussian Syed Aljunid.
Anwar berkata AIM yang menawarkan faedah yang sangat baik kepada pesertanya, disasar menjadi contoh kepada negara lain yang sedang berkembang dengan bantuan modal rendah dapat memberi pulangan baik sama ada kepada peminjam mahupun kepada ekonomi.
“Ini satu contoh terbaik membantu rakyat miskin. Biar AIM menjadi contoh dan terkenal bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia khususnya di negara-negara sedang berkembang iaitu modalnya sedikit namun boleh bagi pulangan yang baik,” katanya.
Terdahulu, Dr Syed Hussian yang juga Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad dalam ucapannya berkata, peruntukan RM230 juta bagi pelaksanaan skim berkenaan adalah yang terbesar pernah diterima oleh AIM, dengan menyifatkan untuk setiap RM100 juta yang diterima badan itu mampu melahirkan seramai 15,000 usahawan.
“Skim PADURI MADANI ini adalah untuk sahabat usahawan baru yang mahu memulakan atau membesarkan perniagaan. Kami yakin dengan sokongan Perdana Menteri dan kerajaan MADANI, maka skim ini akan menjadi pembangkit dalam merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi mikro negara.
“Kami ucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Seri kerana sentiasa menetapkan seluruh sahabat ushawan sebagai keutamaan dalam usaha membasmi kemiskinan dan menaikkan taraf hidup rakyat.
“Sewaktu mula menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri bayar kita RM10 juta, kemudian dalam peruntukan Belanjawan 2024 ditambah lagi RM1 juta dan sekarang beliau tambah lagi RM230 juta yang mana belum pernah lagi kita dapat macam ini,” katanya.
Sementara itu, AIM dalam satu kenyataan berkata sejak diwujud 39 tahun lalu, pihaknya sudah mengeluarkan pembiayaan dengan nilai RM39.1 bilion membabitkan seramai 1.18 juta peminjam, sekali gus memanfaatkan kepada 4.39 juta isi rumah.
Katanya, jumlah Sahabat Usahawa AIM masih aktif setakat ini adalah seramai 317,886 orang manakala AIM terus mengekalkan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) pada 0 peratus.
“Bagi tempoh antara Januari sehingga April 2026, prestasi pembiayaan AIM sangat memberangsangkan dengan jumlah pembiayaan yang dikeluarkan adalah sebanyak RM1.07 bilion kepada 131,105 orang peminjam,” katanya.-BH Online
