Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Semua Menteri Kabinet daripada UMNO bersedia memberi keterangan di Mahkamah Tinggi dalam prosiding semakan kehakiman bagi mengesahkan kewujudan Titah Adendum, Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung malam ini.

Katanya, menteri-menteri yang mewakili UMNO bersedia untuk memberi kerjasama kepada Mahkamah Tinggi jika diperlukan untuk memberi keterangan.null

Dalam pada masa sama, beliau berkata, UMNO juga akan terus memohon ihsan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri itu, selaras dengan kuasa prerogatif di bawah Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

“UMNO selaku satu-satunya parti yang termaktub di dalam Perlembagaan partinya mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu akan sentiasa meletakkan keutamaan dan penghormatan tertinggi Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada media selepas mesyuarat MKT.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, UMNO yakin Mahkamah Tinggi akan bertindak bebas dan adil untuk menilai keabsahan kewujudan Titah Adendum.

Antara Menteri daripada UMNO dalam Kabinet adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri, memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah selain Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, menjadi Menteri Luar.null

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memegang portfolio Menteri Pertahanan, manakala seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik Menteri Perladangan dan Komoditi.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) manakala Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad dan empat lagi yang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dilantik sebagai Timbalan Menteri adalah Datuk Seri Ahmad Maslan; Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Datuk Mohamad Alamin dan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Isnin lalu, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum pada Januari tahun lalu.

Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.-BH Online