Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: UMNO mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan pada Isnin ini yang bertujuan menyatakan solidariti terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung isu Titah Adendum.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata parti berkenaan akur kepada segala saranan titah Seri Paduka agar menghormati kuasa prerogatifYang di-Pertuan Agong, untuk menggunakan saluran perundangan ditetapkan dengan mengemukakan rayuan dalam perkara dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

“UMNO tidak akan sesekali membelakangi Perlembagaan dan tetap menghormati apa jua peraturan serta undang-undang yang ditetapkan sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong.

“Atas prinsip menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan sebagaimana arahan Ketua Polis Negara, UMNO mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan pada 6 Januari 2025,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, sebagai parti yang konsisten memperjuang dan mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam perlembagaan parti, UMNO sentiasa meletakkan keutamaan serta penghormatan tertinggi kepada Yang di-Pertuan Agong.

“UMNO menaruh sepenuh keyakinan atas keihsanan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam memberikan keadilan penuh kepada Najib.

“Parti juga ingin merakamkan penghargaan tinggi kepada seluruh ahli UMNO yang sudah menyatakan komitmen tinggi untuk memberi sokongan moral walaupun tiada arahan rasmi daripada ibu pejabat UMNO sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, UMNO merancang untuk mengadakan perhimpunan di pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya pada Isnin depan bagi menyatakan solidariti terhadap Najib berhubung isu Titah Adendum.

Bagaimanapun semalam, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa cadangan supaya mana-mana banduan diberikan keampunan atau pengurangan hukuman, hendaklah dikemukakan banduan terbabit untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.

Menurut Istana Negara, ini kerana kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Kuasa prerogatif itu termaktub berdasarkan peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa hari sebelum rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran semakan kehakiman serta notis usul difailkan beliau untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum, didengar oleh Mahkamah Rayuan pada Isnin ini.

Ia kemudian disusuli kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, yang meminta orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan dianjurkan mana-mana pihak berkaitan isu tuntutan mendapatkan pengampunan diraja.

Razarudin dipetik berkata, ia demi menghormati titahkenyataan Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif baginda dalam urusan pengampunan itu, selain bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam

Isu pengampunan banduan mencetuskan perdebatan susulan kes membabitkan Najib, terutama dalam soal berkaitan Titah Adendum untuk membolehkan bekas Perdana Menteri itu menghabiskan baki tempoh hukumannya dengan menjalani tahanan di rumah.-BH Online