JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menuntut supaya setiap individu yang terbabit dalam penarikan balik permohonan semakan tuntutan ke atas Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, diheret ke muka pengadilan.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerajaan negeri memandang serius inti pati petisyen yang diserahkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Johor semalam, selain mengikuti perdebatan awam yang timbul susulan penerbitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Beliau berkata, laporan RCI berkenaan mendedahkan tindakan Kerajaan Persekutuan ketika itu yang menarik balik permohonan semakan dan tafsiran keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2018 meskipun wujud bukti-bukti baharu yang mengukuhkan tuntutan Malaysia.
“Kerajaan negeri dan seluruh Bangsa Johor menzahirkan rasa penuh dukacita atas pengkhianatan yang telah berlaku ini.
“Mereka (yang terbabit) perlu dihakimi oleh perundangan negara atas pengkhianatan ini.
“Kerajaan Johor tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menggugat keharmonian dan kedaulatan negeri ini mahupun negara.
“Kerajaan negeri juga berharap tidak ada mana-mana pihak yang cuba memutarbelitkan isu ini sehingga mengancam kedaulatan negeri dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, beberapa NGO Johor dilapor menyerahkan petisyen kepada Kerajaan Johor untuk mendesak pihak berkaitan mengambil tindakan tegas berhubung isu kedaulatan Batu Puteh sehingga menyebabkan negara kehilangan aset berharga itu.
Penyerahan petisyen itu diadakan pada Himpunan Solidariti Bangsa Johor Terhadap Batu Puteh di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, yang turut dihadiri kira-kira 400 ahli pelbagai NGO Johor.
Pada 5 Disember lalu, RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dilapor mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Prosiding itu diusulkan susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ.
Laporan akhir yang dinyahklasifikasikan itu telah diserahkan oleh Pengerusi RCI berkenaan, Tun Md Raus Sharif, kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, di Istana Negara pada 12 Ogos lalu.
Berikutan itu, RCI berkenaan mencadangkan supaya satu laporan polis dibuat oleh Setiausaha suruhanjaya terbabit bagi membolehkan siasatan dimulakan.
Laporan ditandatangani tujuh anggota suruhanjaya dipengerusikan Md Raus yang juga bekas Ketua Hakim Negara itu menyatakan dalam konteks Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan, apa yang perlu ditunjukkan ialah Dr Mahathir didakwa menipu Jemaah Menteri dan dengan sengaja mendorong Kerajaan Malaysia untuk tidak meneruskan permohonan berkenaan walaupun keputusan terbabit dibuat secara sepihak oleh beliau tanpa kelulusan Jemaah Menteri ketika itu.
Berikutan itu, Dr Mahathir dilaporkan bersedia untuk berdepan sebarang siasatan jenayah susulan hasil laporan RCI berkenaan.
Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, hasil laporan RCI terbabit adalah bersifat politik untuk memusnahkan imejnya kerana hanya beliau seorang yang dipertanggungjawabkan.
Dr Mahathir juga sekali lagi menegaskan keputusan berhubung Batu Puteh dibuat secara secara bersama oleh Kabinet ketika itu.
Merujuk laporan RCI itu, Onn Hafiz berkata, keputusan menarik balik permohonan semakan dan tafsiran terhadap keputusan ICJ berkenaan telah dibuat secara sengaja tanpa asas munasabah, sekali gus bertentangan dengan fakta sejarah serta nasihat perundangan.
“Dengan tidak meneruskan permohonan tuntutan Malaysia terhadap kes Batu Puteh, maka tercatatlah suatu titik paling hitam dalam lembaran sejarah Malaysia dan Johor, di mana kita telah kehilangan peluang untuk mendapatkan kembali wilayah jajahan Kesultanan Johor.
“Segala hak yang berbaki untuk menuntut kedaulatan ke atas Batu Puteh kini luput dan terlucut buat selama-lamanya,” katanya.-BH Online