PUTRAJAYA: Kementerian Ekonomi akan membentangkan laporan pertama membabitkan keutamaan dalam pembikinan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) minggu depan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata laporan yang akan mengetengahkan keutamaan dalam pelaksanaan rancangan pembangunan lima tahun Malaysia itu akan menjadi tunjang kepada struktur negara pada masa hadapan.
“Dalam masa tiga hingga empat bulan lalu, kita telah duduk bersama bahagian-bahagian tertentu dalam kerajaan dan pemegang taruh untuk memastikan keutamaan dalam RMK-13 berkesan.
“Jika 2024 kita banyak membincangkan soal struktur, perkara yang bersabit struktur ekonomi telah dilaksanakan dan sebahagiannya telah menunjukkan hasil, jadi apa yang ingin dilaksanakan dalam RMK-13 akan ada impak yang besar kepada struktur negara.
“Ini membabitkan soal keupayaan rakyat. Keupayaan pendidikan, kesihatan, bakat, sosioekonomi. Kita perlu pastikan negara menyediakan aset yang baik apabila Malaysia menjadi negara maju 2028 atau selewat-lewatnya 2029,” katanya ketika menyampaikan amanat pada perhimpunan bulanan Kementerian Ekonomi, hari ini.
September lalu, Rafizi dilaporkan berkata, RMK-13 yang sedang dirangka dijangka akan mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan iaitu siap sepenuhnya pada Mei 2025.
Katanya, dokumen penting bagi perancangan ekonomi negara itu dijadualkan dibentang di Dewan Rakyat pada Julai 2025 selepas mendapat kelulusan kabinet.
Justeru, semakan dan draf pertama itu perlu disiapkan dalam enam bulan kerana sebelum melalui beberapa proses saringan dan mendapat kelulusan di peringkat kerajaan.
Sejajar dengan perkembangan RMK-13, Rafizi berkata, kerajaan akan membuat pengumuman penting bulan hadapan yang akan memberi kesan besar kepada penstrukturan seluruh ekonomi negara.
Katanya, pengumuman itu akan menjadi isyarat bahawa pelaburan dan perancangan ekonomi negara perlu ditransformasikan daripada pelaburan bersifat ‘hardware’ dan insentif kepada suntikan modal menerusi satu kaedah yang lebih baik.
“Negara memerlukan daya cipta untuk menjadi negara pencipta kepada perkara yang hebat. Maka, dengan ini, ekonomi kita tidak dapat disentuh.
“Pendekatan kita sangat berbeza dengan negara lain. Kita beralih dari segi pelaburan semata-mata dalam infrastruktur fizikal kepada pelaburan dalam infrastruktur harta intelek (IP). Kalau ini berlaku dengan baik, saya fikir ia akan menjadi satu permulaan yang baik kepada RMK-13,” katanya.
Sementara itu, Rafizi memaklumkan, Malaysia akan menganjurkan Forum Ekonomi Malaysia minggu depan, yang akan diangkat sebagai acara tahunan negara.
“Penganjuran forum ini membolehkan kita mulakan naratif ekonomi yang positif. Justeru, kita akan pastikan hala tuju negara, potensi terus menjadi tumpuan pelabur dan pemegang taruh ekonomi,” katanya.
Menyentuh mengenai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Rafizi berkata, ia sepatutnya dimeterai bulan lalu tetapi ditunda ke bulan ini disebabkan keadaan kesihatan Perdana Menteri Singapura yang dijangkiti COVID-19.
“Sebelum ia dimeterai, zon ekonomi khas ini sebenarnya membantu dalam membina naratif ekonomi Malaysia sepanjang 2024.
“Sebahagian besar minat yang wujud terutamanya kepada Johor dan bahagian di selatan tanah air hasil daripada unjuran penganalisis ekonomi dan pelabur berhubung potensi yang wujud,” katanya.-BH Online