KUALA LUMPUR: Syarikat induk platform media sosial TikTok, ByteDance dan Tencent bagi WeChat menjadi penyedia perkhidmatan pertama diberikan lesen bagi membolehkan mereka beroperasi di negara ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), berkata dua syarikat itu antara empat penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial utama yang mengambil langkah signifikan pematuhan kawal selia ditetapkan kerajaan bermula hari ini.
Katanya, Telegram di peringkat akhir proses pelesenan dan dijangka mendapat lesen dalam masa terdekat.
“Meta yang menyelia Facebook, Instagram dan WhatsApp turut memulakan proses untuk memperoleh lesen bagi membolehkan platform mereka beroperasi di dalam negara, yang dijangka akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
“Tencent sudah diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)), menjadikan mereka sebagai penyedia perkhidmatan pertama dilesenkan di bawah keperluan pelesenan untuk penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial. Ia disusuli ByteDance,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut MCMC, platform X dan Google yang mengendalikan YouTube setakat ini masih belum menghantar permohonan kepada MCMC.
“X berkata jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai nilai ambang lapan juta pengguna yang disyaratkan.
“Namun, MCMC sedang giat menyemak kesahihan jumlah pengguna dan akan meneruskan sesi libat urus bagi menilai kedudukan X,” katanya.
Menyentuh mengenai Google, MCMC berkata, beberapa perkara dibangkitkan syarikat itu antaranya, mengenai ciri-ciri perkongsian video YouTube dan klasifikasinya di bawah Kerangka Pelesenan.
“MCMC membincangkan isu yang dibangkitkan dan akan memastikan YouTube serta semua penyedia platform yang relevan dimaklumkan dengan jelas mengenai tugas dan tanggungjawab mereka untuk mematuhi Kerangka Pelesenan yang kini sudah berkuat kuasa,” katanya.
MCMC turut menegaskan mereka akan menilai status penyedia platform yang belum memperoleh lesen dikehendaki dan akan mempertimbangkan tindakan wajar di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, penyedia platform yang didapati melanggar keperluan pelesenan boleh dikenakan siasatan dan tindakan pengawalseliaan.
“Keperluan pelesenan ini menekankan komitmen kerajaan untuk memperkukuh keselamatan dalam talian, mempertingkat perlindungan pengguna terutamanya untuk kanak-kanak dan golongan rentan dan pada masa yang sama menambah baik pengawasan kawal selia untuk Penyedia Perkhidmatan yang beroperasi di Malaysia.
“MCMC memuji usaha Penyedia Perkhidmatan yang mengambil langkah proaktif ke arah pematuhan dan menekankan kepentingan untuk mematuhi keperluan pelesenan.
“Kesemua usaha ini adalah penting dalam mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan kekal dengan pendirian untuk melaksanakan pelesenan platform media sosial yang bakal berkuat kuasa bermula hari ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, dilapor berkata penguatkuasaan pelesenan itu penting bagi mengatasi pelbagai masalah dalam internet khususnya membabitkan buli siber.
Ogos lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
MCMC dalam kenyataannya dilaporkan, langkah itu akan dikuat kuasa bermula 1 Januari 2025, susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet diperkenalkan.-BH Online